UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM17.9 juta bagi suku keempat 2024 yang berakhir pada 31 Disember 2024 (FY2024).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat itu turut melaporkan peningkatan kukuh dalam keuntungan dengan lonjakan 70.6 peratus berbanding RM30.1 juta pada FY2023.
"UEM Edgenta merekodkan pertumbuhan hasil tahun ke tahun sebanyak 5.8 peratus dengan peningkatan daripada RM2.9 bilion kepada RM3.0 bilion berbanding tahun sebelumnya.
"Secara keseluruhan, keuntungan tahunan mencecah RM66.4 juta, didorong oleh pertumbuhan pesat di pasaran antarabangsa menerusi UEM Edgenta serta usaha berterusan mengurus kos di seluruh kumpulan,” katanya dalam UEM Edgenta Analyst & Media Briefing FY2024 pada Khamis.
Tambahnya, selaras dengan komitmen untuk menyampaikan nilai pemegang saham, UEM Edgenta telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.40 sen sesaham bagi FY2024.
"Selain itu, ‘normalised PAT’ atau keuntungan bersih ternormalisasi meningkat daripada RM31.3 juta pada FY2023 kepada RM66.4 juta pada FY2024, iaitu kenaikan sebanyak 112.1 peratus.
"Pertumbuhan ini didorong oleh pengembangan dalam perniagaan antarabangsa melalui pembaharuan kontrak utama dan kemenangan kontrak baharu sekali gus peningkatan kecekapan pengurusan kos strategik sepanjang tahun,” ujar beliau.
Pada suku keempat FY2024, UEM Edgenta mencatatkan hasil sebanyak RM819.4 juta, meningkat daripada RM793.2 juta pada suku sebelumnya.
Keuntungan bersih bagi suku tersebut berjumlah RM17.9 juta, menandakan peningkatan 72.1 peratus daripada RM10.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024.
Jelas Syahrunizam, kesungguhan UEM Edgenta dalam menjadi rakan kongsi yang boleh dipercayai mendorong mereka untuk mengukuhkan jejak serantau dan memperdalam kerjasama dengan pemegang kepentingan utama.
"Di peringkat antarabangsa, syarikat telah berjaya mengembangkan tawaran perkhidmatannya melangkaui sektor penjagaan kesihatan di Singapura kepada sektor hospitaliti mewah dan bangunan pejabat gred A.
"Pada suku keempat FY2024, syarikat turut melancarkan Program Latihan Siswazah Pengurusan Fasiliti MEEM, satu inisiatif berkesan oleh UEM Edgenta Berhad yang merupakan bukti kerjasama kukuh kami dengan Kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Syahrunizam berkata, prestasi kewangan kukuh UEM Edgenta didorong oleh kejayaan umemperoleh kontrak baharu dalam projek infrastruktur utama termasuk Lebuh Raya Pan Borneo dan pelebaran lorong Lebuh Raya Utara-Selatan di Johor.
"Biarpun berdepan cabaran tekanan inflasi, syarikat berjaya mengekalkan pertumbuhan hasil yang stabil serta meningkatkan keuntungan. Ini membuktikan keupayaan kami menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran.
"Kejayaan ini juga hasil daripada keberkesanan inisiatif strategik kami dalam transformasi digital, kecemerlangan operasi dan pengembangan wilayah," katanya.