SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberikan kebebasan kepada badan penyiasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan membendung kes rasuah dalam sektor pertahanan tanpa ada campur tangan politik.
Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, rasuah dalam sektor tersebut boleh membawa kepada implikasi serius termasuk perolehan aset pertahanan tidak berkualiti, kebocoran maklumat strategik dan kelemahan keupayaan ketenteraan negara.
Jelasnya, jika tidak ditangani dengan tegas, ia akan berpotensi menggugat kestabilan dan keselamatan negara dalam jangka panjang.
"Rasuah dalam sektor pertahanan adalah isu kritikal yang sering diperkatakan. Kita perlu sedar bahawa jika tidak dibendung, ia boleh menjejaskan keselamatan negara, menggugat kestabilan politik dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan.
"Sektor ini merupakan antara penerima peruntukan belanjawan tahunan terbesar selepas sektor pendidikan. Proses perolehan aset strategik seperti senjata, sistem komunikasi dan infrastruktur keselamatan memerlukan tahap ketelusan serta akauntabiliti yang tinggi.
"Namun, disebabkan nilai kontrak yang besar serta keterlibatan maklumat rahsia tahap tinggi, sektor ini sering menjadi sasaran penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan sesekali membenarkan sebarang pihak dalam sektor pertahanan negara terlibat dengan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Katanya, perbuatan sedemikian bukan sahaja mengkhianati amanah yang diberikan, tetapi juga merosakkan keselamatan serta keamanan negara.
Dalam pada itu, Zainal Adnan berpendapat, ketegasan Perdana Menteri memerangi rasuah sektor berkenaan adalah langkah yang amat wajar dan wajib mendapat sokongan penuh.
"Sektor pertahanan secara langsung berkaitan dengan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan nasional, yang tidak boleh dikompromi demi kepentingan peribadi atau ketamakan segelintir pihak.
"Rasuah dalam sektor pertahanan bukan sekadar isu kewangan tetapi juga ancaman besar terhadap keselamatan, kedaulatan dan kestabilan negara.
"Sebarang penyelewengan atau ketirisan boleh membawa kesan serius, termasuk melemahkan keupayaan ketenteraan jika kontrak diberikan kepada syarikat yang tidak berkelayakan semata-mata kerana amalan rasuah,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia perlu mencontoh beberapa negara baju seperti Sweden, Jerman, United Kingdom (UK) dan Singapura yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif menangani gejala ini.
"Dengan mengambil iktibar daripada negara ini, Malaysia boleh memperkukuh mekanisme pengawasan dan penguatkuasaan bagi memastikan sektor pertahanan bebas daripada amalan rasuah yang boleh menjejaskan keselamatan serta kestabilan negara,” kata beliau.