SHAH ALAM –"Setiap kali saya melihat lokasi Highland Towers, hati saya berbisik kejadian seperti ini tidak harus berulang.”
Demikian luahan bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Dr Soh Chai Hock yang masih menyimpan perasaan sebak setiap kali mengenang tragedi runtuhan kondominium berkenaan yang meragut 48 nyawa, hampir 32 tahun lalu.
Beliau berkata, insiden hitam itu bukan sahaja merubah landskap operasi penyelamatan negara, malah meninggalkan kesan mendalam kepada semua anggota pasukan yang terlibat dalam operasi terbabit.
"Semasa saya tiba di lokasi kejadian, saya terperanjat kerana kami tidak pernah berdepan tragedi sebesar ini sebelum ini, tambahan pula, kami tidak tahu berapa ramai mangsa berada di dalam bangunan kerana terdapat pelbagai laporan berbeza.
"Ada yang kata 100 orang, ada juga yang kata 400 orang, itu cabaran pertama kami kerana perlu membuat keputusan pantas tanpa maklumat lengkap," katanya yang merupakan Ketua Pengarah Bomba ketika itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Pesara Bomba dan Waris di Ibu Pejabat JBPM Selangor, di sini pada Jumaat.
Mengenang detik sukar itu, Chai Hock berkata, operasi menyelamat berdepan kekangan besar kerana pasukan bomba tidak mempunyai teknologi canggih seperti hari ini.
"Kami hanya bergantung kepada tangga, tali dan beberapa kenderaan, peralatan canggih seperti alat pengesan mangsa atau jentera khas memang tiada.
"Tapi kami tak boleh tunggu kerana nyawa mangsa lebih utama," katanya.
Tambahnya, dalam setiap operasi, fasa awal adalah tempoh paling kritikal kerana sebarang keputusan yang silap boleh membatalkan keseluruhan misi selain membahayakan nyawa anggota penyelamat.
"Ketua operasi mesti membuat keputusan yang tepat dalam tempoh ini, manakala anggota perlu menjalani latihan mencukupi supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan," ujarnya.
Tragedi runtuhan Blok 1 Highland Towers pada 11 Disember 1993 dianggap sebagai antara bencana bangunan paling buruk pernah berlaku di negara ini.
Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari itu, bangunan 12 tingkat yang menempatkan 50 unit kediaman di Taman Hillview, Hulu Klang runtuh secara tiba-tiba, meranapkan keseluruhan struktur dan memerangkap puluhan penghuni di dalamnya.
Seramai 48 mangsa disahkan maut, manakala hanya dua orang sahaja berjaya diselamatkan sepanjang tempoh operasi mencari dan menyelamat dijalankan.
Peristiwa itu juga menjadi titik tolak kepada penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) JBPM khususnya dalam aspek operasi menyelamat, selain menyaksikan penubuhan Unit Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) pada tahun 1994.
Dalam pada itu, Chai Hock turut menzahirkan rasa syukur apabila kerajaan kini lebih peka dengan memperkukuhkan peralatan serta mempertingkatkan latihan anggota bomba bagi menghadapi bencana besar.
Mengulas mengenai semangat kebersamaan dalam pasukan, beliau berkata, seorang ketua wajar memahami cabaran yang dihadapi anggota di lapangan kerana setiap tugasan berdepan risiko tinggi serta menuntut komitmen sepenuhnya.
"Sebagai ketua, kita perlu tahu keadaan anggota, jerih payah mereka di lapangan dan sentiasa ada semangat kebersamaan tanpa mengira agama dan bangsa.
"Apabila ketua mengambil tahu mengenai kebajikan anggota, secara tidak langsung ia membangkitkan motivasi serta semangat anggota untuk memberikan khidmat terbaik," katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail yang meraikan pesara serta waris pegawai dan anggota bomba yang hadir.
Sementara itu, Penyelaras program, Penguasa Kanan Bomba II, Shamsol Maarif Saibani berkata, program julung kali diadakan itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada pesara pegawai dan anggota bomba di negeri ini.
"Program ini mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran ramai pesara bersama ahli keluarga masing-masing.
"Hari ini, kita berjaya menghimpunkan kira-kira 400 pesara bersama pasangan dan waris bagi memeriahkan program ini," katanya.