JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar kecewa dengan peningkatan kes salah laku dalam kalangan pegawai kanan dan anggota polis Johor sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, pada tahun lalu seramai 23 pegawai kanan dan anggota polis telah dituduh di mahkamah manakala pada awal tahun ini tiga lagi didakwa atas kesalahan serius seperti pemerasan, rogol, ugutan jenayah, amang seksual, keganasan rumah tangga serta penyalahgunaan dadah.
Kumar menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai serta anggota yang terlibat dalam jenayah atau pelanggaran disiplin.
"Saya tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa, bersekongkol dengan penjenayah atau penyalahgunaan dadah.
"Ini kerana, jika tidak dibendung, salah laku ini boleh menjadi barah yang merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM," katanya.
Kumar berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Johor pada Rabu.
Tambahnya, tindakan tegas termasuk di bawah Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 akan diambil bagi memastikan ketelusan dalam penyeliaan serta integriti dalam pasukan polis terus diperkasakan.
Sementara itu Kumar berkata, di sebalik cabaran membanteras salah laku dalaman, Polis Johor tetap menunjukkan prestasi cemerlang dalam menangani jenayah.
Katanya, bagi Januari 2025, indeks jenayah menurun 1.01 peratus, dengan 491 kes berbanding 496 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
"Bagi operasi membanteras jenayah dadah, 4,048 individu ditahan, dengan rampasan dadah bernilai RM34.03 juta serta aset sindiket berjumlah RM4.46 juta dan sebanyak tujuh sindiket pengedaran dadah berjaya dilumpuhkan dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Johor.
"Bagi jenayah penipuan dalam talian, ia meningkat dengan 1,126 kertas siasatan dibuka sepanjang Januari hingga pertengahan Februari 2025, meningkat 55 peratus berbanding tahun lalu," katanya.
Sementara itu katanya, dari segi aspek keselamatan jalan raya, jumlah kemalangan turut menunjukkan penurunan dengan 52 kes lebih rendah berbanding Januari tahun lalu di mana Kontinjen Johor juga menerima pengiktirafan sebagai juara dalam kategori Penurunan Kadar Kemalangan Tertinggi sempena Op Selamat 23.