ASEAN perlu perbanyak zon ekonomi di sempadan negara anggota - Pakar

Iklan
Dr Barjoyai Bardai

KOTA TINGGI - Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, perlu menggalakkan penubuhan zon ekonomi rentas sempadan dalam kalangan negara anggota sebagai usaha meningkatkan potensi ekonomi negara jiran masing-masing.

Pakar Ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, dengan mengambil contoh penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), negara anggota seperti Indonesia boleh mewujudkan Zon Ekonomi Khas melibatkan Australia, selain Thailand bersama Kemboja, Laos dan juga Vietnam, sekali gus berpotensi mencatat pertumbuhan ekonomi serantau yang lebih baik berbanding kesatuan negara lain di seluruh dunia.

Iklan
Iklan

"Kalau ini dapat dilakukan, kita akan benar-benar dapat menonjolkan bahawa ASEAN itu adalah satu 'rantau', mungkin satu kawasan yang lebih luas dan lebih kukuh pertumbuhannya berbanding Kesatuan Eropah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas sesi Permukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 dan mesyuarat berkaitannya yang berlangsung di Desaru, di sini, dari 22 sehingga 28 Februari ini.

Iklan

"Sekiranya tumpuan diberikan kepada usaha membuka sempadan bagi kerjasama ekonomi antara negara ahli, ASEAN kemudian boleh menumpukan kepada industri yang melibatkan kelebihan rantau ini antaranya industri melibatkan sumber asli dan nadir bumi," katanya.

Di peringkat Malaysia, Zon Ekonomi khas juga berpotensi dikembangkan di kawasan utara semenanjung meliputi dari Kelantan hingga ke Perlis yang bersempadanan dengan Thailand, begitu juga dengan Kalimantan, Indonesia dan Brunei yang bersebelahan dengan Sabah dan Sarawak.

Iklan

Selain itu, Barjoyai berkata, hasil usaha kerjasama yang lebih menyeluruh ini juga mampu merealisasikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu negara-negara anggota yang masih ketinggalan dari segi pertumbuhan ekonomi mereka.

"Kalau boleh, kita mahu membuat perjanjian yang melibatkan negara-negara ASEAN.

"Maknanya, perjanjian itu akan meliputi semua ahli ASEAN yang mana semangatnya sama, temanya sama dan kita hanya mengembangkan perspektif ini untuk semua ahli negara ASEAN," katanya.

Permukiman AEM dan mesyuarat berkaitannya berlangsung di Desaru dari 22 hingga 28 Februari ini.

Ia bermula dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja-Komuniti Ekonomi ASEAN (WG-AEC) Ke-12 pada 22 hingga 23 Februari, diikuti Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Integrasi Ekonomi ASEAN (HLTF-EI) yang diadakan bermula 24 hingga 25 Februari.

Ini diikuti Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) diadakan pada 26 hingga 27 Februari, manakala kemuncak acara Pemukiman AEM akan berlangsung pada 28 Februari ini dengan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam permukiman ini, menteri-menteri dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Utama Ekonomi, yang bertujuan memperkukuh integrasi ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasa kemampanan, dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.

Lebih 200 perwakilan dari 10 negara anggota ASEAN dan negara pemerhati Timor-Leste hadir ke pemukiman ekonomi ini. - Bernama