Tidak sangka kembali ke Madinah selepas 47 hari

Iklan
Ahmad Rathomie (kiri) dan Wan Noraisyah terpilih menyertai Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Fa'izin.

KOTA BHARU - Dua peserta Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan anjuran Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Imanul Fa'izin tidak pernah menyangka mereka akan kembali semula ke bumi penuh berkat iaitu Madinah selepas 47 hari pulang daripada menunaikan ibadah tersebut.

Kedatangan semula ke kota bercahaya itu bagaikan mimpi buat Ahmad Rathomie Hasbullah, 28, dan Wan Noraisyah Wan Ramizah, 24, apabila dapat menabur bakti sekali gus dekat dengan junjungan Rasulullah SAW.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, kami terpilih dan dijemput menunaikan umrah secara percuma untuk kali pertama selepas berjaya menunaikan solat berjemaah selama 30 hari tanpa gagal yang dianjurkan oleh Andalusia Travel & Tours.

"Kali ini kami ke sini bukan sebagai tetamu ALLAH tetapi petugas Haramain. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata sehingga saat ini kami seperti masih bermimpi," demikian luah Ahmad Rathomie kepada Sinar Harian.

Iklan

Menurut pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) itu, semasa mengikut program tersebut dan menunaikan umrah dia tidak bekerja selepas kontrak sebagai pegawai teknologi maklumat di Putrajaya tamat.

Ahmad Rathomie (dua dari kiri) bersama anak muda yang telah dipilih dan layak mengikuti Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Ujarnya yang berasal dari Bachok, semasa berada di hadapan Kaabah dan di kawasan Raudah dia tidak putus-putus berdoa semoga memperoleh pekerjaan segera.

Iklan

Anak kelapan daripada 11 beradik itu memberitahu, sejurus pulang daripada umrah dia ternampak iklan jawatan kosong di TikTok Andalusia Travel & Tours sebagai petugas Haramain dan cuba memohonnya.

"Saya tidak sangka secepat ini akan mendapat pekerjaan dan lebih bermakna lagi bertugas di Madinah. Pekerjaan yang saya tidak pernah impikan tetapi semasa menunaikan umrah ada berdoa agar ALLAH menjemput kembali ke sini tetapi tidak sangka akan menetap dan mencari rezeki dekat dengan Rasulullah SAW," katanya dengan nada sebak.

Bagi Wan Noraisyah Wan Ramizah, 24, pemegang Ijazah Sarjana Bahasa Arab dari Unisza memberitahu, semasa menunaikan umrah dia tidak berpeluang untuk memasuki Raudah kerana datang haid.

Ujarnya yang berasal dari Pasir Puteh, selepas itu dia terus berdoa sambil menangis supaya diundang lagi ke Madinah sebagai tetamu ALLAH kerana mahu menjejakkan kaki ke taman syurga itu.

"Alhamdulillah, dengan bertugas di sini saya berpeluang untuk merealisasikan impian itu, Insya-ALLAH. Sehingga sekarang saya masih lagi tidak percaya akan bekerja di sini.

"Ini kerana ia adalah pekerjaan pertama selepas tamat pengajian, dan pada asalnya saya hanya cuba memohon dengan niat mahu menyimpan wang untuk mengikuti DPLI (Diploma Perguruan Lepasan Ijazah) bagi mengejar cita-cita sebagai guru.

"Tidak sangka pula kerja pertama yang ditakdir kepada saya ialah sebagai petugas Haramain. Bila diingat kembali ia merupakan salah satu doa ibu yang pernah menyuarakan hasratnya untuk melihat saya bekerja sebagai mutawif," katanya.

Sinar Harian pada 30 Disember lalu melaporkan, seramai 65 anak muda terdiri daripada 29 perempuan dan 36 lelaki telah dipilih dan layak mengikuti Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Menurut anak bongsu serta tunggal perempuan daripada lima beradik itu, walaupun terpaksa berpisah jauh dari ayah, ibu namun mereka bangga dengan pilihan yang dibuatnya.

Wan Noraisyah memberitahu, semasa di Makkah dia berdoa agar diberikan pekerjaan yang bersesuaian dengan bidang pengajiannya serta dengannya dapat membantu orang lain.

Ahmad Rathomie dan Wan Noraisyah memulakan tugas sebagai petugas Haramain di Madinah bermula Isnin.

Sinar Harian pada 30 Disember lalu melaporkan, seramai 65 anak muda terdiri daripada 29 perempuan dan 36 lelaki telah dipilih dan layak mengikuti Program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun itu adalah bujang, tidak pernah menunaikan umrah dan telah lulus dengan jayanya solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin selama 30 hari tanpa gagal iaitu 90 waktu melibatkan solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Menurutnya, objektif program ini diadakan adalah untuk menarik minat golongan muda yang berasal dari Kelantan mengimarahkan masjid sekali gus membentuk mereka dalam mendalami asas kerohanian serta ilmu fardu ain sebelum ke tanah suci.