LKAN: 1,119 projek lima universiti penyelidikan melalui DPF kurang memuaskan, 151 bermasalah

Iklan
1,119 projek lima universiti penyelidikan melalui DPF kurang memuaskan, 151 bermasalah. Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Sebanyak 1,119 projek bernilai RM148.04 juta yang dijalankan oleh lima universiti penyelidikan melalui Dana Penyelidikan Fundamental (DPF) didapati berada pada tahap kurang memuaskan manakala 151 projek bernilai RM23.69 juta lagi pada tahap bermasalah.

Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 (LKAN) Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 bagi isu Pengurusan Dana Penyelidikan Fundamental.

Iklan
Iklan

Menurut laporan pihak audit, setakat 31 Disember 2023, sebanyak 2,077 projek penyelidikan DPF bernilai RM285.44 juta sedang dilaksanakan oleh lima universiti penyelidikan terlibat iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta dipantau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Jelasnya, daripada 2,077 projek penyelidikan tersebut, tahap kemajuan projek berstatus baik melibatkan 236 projek berjumlah RM35.74 juta, manakala 571 projek bernilai RM77.97 juta memuaskan.

Iklan

"Bagaimanapun, tahap kemajuan bagi baki 1,119 projek (53.9 peratus) bernilai RM148.04 juta adalah kurang memuaskan dan 151 projek (7.3%) sebanyak RM23.69 juta pada tahap bermasalah.

"Analisis Audit mendapati USM mencapai tahap kemajuan projek baik yang tertinggi iaitu 206 projek (37 peratus) sebanyak RM31 juta. Selain itu, tahap kemajuan projek UKM memuaskan tertinggi iaitu 200 projek (29.8 peratus) bersamaan RM25.31 juta manakala 339 projek (50.5 peratus) kurang memuaskan tertinggi RM52.61 juta.

Iklan

"UKM juga didapati merekodkan tahap kemajuan projek bermasalah tertinggi sebanyak 111 projek (16.5 peratus) yang bernilai RM13.24 juta," katanya pada Isnin.

Justeru, pihak audit mengesyorkan KPT dan universiti penyelidikan terlibat meningkatkan pemantauan secara berkala terhadap prestasi pelaksanaan projek supaya ia dilaksanakan mengikut perancangan dan mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

"Selain itu, KPT juga perlu meneliti permohonan daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dari segi kebolehlaksanaan projek penyelidikan bagi mengelakkan ia terbengkalai

dan ditamatkan.

"KPT juga disaran menetapkan dasar jelas berkaitan kedudukan baki peruntukan projek penyelidikan yang telah tamat bagi memastikan ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh universiti penyelidikan," ujar laporan berkenaan.