USAS sedia insentif RM8,000 galak penyelidikan

Iklan
Saarani (tengah) menyampaikan insentif kepada pemenang sempena Majlis Perasmian Penutup Program STARTLE yang diadakan di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di Ipoh pada Isnin.

IPOH – Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menyediakan insentif penyelidikan berjumlah RM8,000 bagi projek-projek terbaik dalam program Sains, Teknologi, Agrokultur dan Landskap Expo (STARTLE 2025) untuk ditampilkan pada Hari Inovasi Peringkat Kebangsaan.

Naib Canselor USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof berkata, insentif berbentuk dana yang diberikan secara berperingkat itu diharap dapat menyuntik semangat kepada penyelidik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, insentif juga menggalak penghasilan lebih banyak produk dan penyelidikan dalam bidang teknologi maklumat, multimedia, landskap dan pertanian.

"Dengan adanya insentif ini, kita berharap semoga lebih banyak produk dan penyelidikan dari USAS dan institusi pengajian tinggi IPT) luar dapat diangkat ke pentas yang lebih tinggi, sekali gus mendapat pengiktirafan dan seterusnya dikomersialkan.

Iklan

"Program STARTLE ini memberi peluang kepada mahasiswa dan penyelidik untuk menghasilkan projek inovatif yang dapat memenuhi keperluan industri serta menyumbang kepada kemajuan masyarakat,” katanya.

Saarani (kanan) mendengar taklimat daripada peserta ketika melawat reruai sempena Majlis Perasmian Penutup STARTLE yang diadakan di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di Ipoh pada Isnin.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Perasmian Penutup Program STARTLE yang diadakan di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di sini pada Isnin.

Iklan

Program disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani (kiri) melihat hasil inovasi peserta sempen Majlis Perasmian Penutup Program STARTLE yang diadakan di Pasar raya Besar Mydin Meru Raya di Ipoh pada Isnin.

Wan Sabri berkata, penganjuran STARTLE selari dengan usaha USAS dalam memastikan inovasi yang dihasilkan bukan sahaja bersifat akademik tetapi juga praktikal serta relevan dengan keperluan semasa.

Sementara itu, Saarani mengajak lebih banyak sektor kerajaan mahupun swasta untuk berkolaborasi dengan institusi pendidikan dan penyelidikan dalam meneroka potensi baharu demi kemajuan negeri Perak.

Jelasnya, matlamat kerajaan negeri bukan sekadar mengejar kemajuan ekonomi dalam masa sama turut memastikan pembangunan bersifat mampan, berdaya tahan serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan alam sekitar.

"Saya yakin dalam masa terdekat inovasi daripada program ini bukan sahaja akan dipamerkan tetapi juga dipatenkan, dikomersialkan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan tidak menanti kesempurnaan tetapi memerlukan keberanian untuk mencuba dan kegigihan untuk terus maju," katanya.

Dengan tema 'Innovate to Elevate', STARTLE 2025 memperkenalkan pelajar kepada standard global dengan menyediakan platform pertandingan dan kolaborasi antarabangsa serta memberi pengiktirafan projek berkualiti tinggi melalui klasifikasi emas, perak dan gangsa.

Selain pelajar USAS, program tersebut turut menyaksikan penglibatan pelajar dari Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi MARA Tapah, dan Kolej Vokasional Gerik.

STARTLE merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat, Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat USAS pada 2019 bagi memupuk budaya inovasi dalam kalangan pelajar.

Ia kemudiannya berkembang menjadi platform berprestij untuk pameran projek saintifik, teknologi, agrikultur dan landskap yang berorientasikan produk penyelesaian masalah.