PUTRAJAYA - Sistem aliran trafik tidak akan berfungsi dengan baik sekiranya tiada perancangan dan tindakan kerajaan ke arah meningkatkan kecekapan pengangkutan awam.
Pakar Pengangkutan, Dr Rosli Azad Khan berkata, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan kerajaan adalah beralih kepada penggunaan bas mini berbanding saiz bas besar sedia ada.
"Dengan jumlah yang banyak, masa menunggu akan menjadi lebih pendek sekali gus menjadikan perkhidmatan lebih cepat serta cekap selain memenuhi rangkaian lebih luas,” katanya pada Khamis.
Ujar beliau, analisis menunjukkan dengan jelas bahawa pengguna pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) jarang menaiki bas perantara.
"Bas bergerak tanpa penumpang kerana masa menunggu terlalu lama, kekerapan perkhidmatan yang begitu rendah dan rangkaian destinasi yang amat terhad,” jelas beliau.
Bagaimanapun menurutnya, pengguna masih terus menggunakan LRT dan MRT serta mengatur perjalanan mereka sendiri.
"Mereka menggunakan e-hailing, motosikal, kereta persendirian dan e-skuter,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bahawa sistem pengangkutan awam harus diperkasakan terlebih dahulu sebelum kajian pelaksanaan caj kesesakan dilaksanakan.
Menurut Rosli, usaha itu juga perlu disertai dengan pengurangan ruang letak kereta, tiada kemudahan parkir di tepi jalan dan caj parkir yang tinggi.
Tidak dilupakan katanya, keperluan khas untuk pejalan kaki perlu diperbaiki agar pusat bandar menjadi lebih menarik dan selesa.
"Sudah tiba masanya pihak berkuasa tidak lagi memihak kepada pemilik kenderaan persendirian sahaja dalam menangani masalah ini,” jelas Rosli.
Tambah beliau, rangkaian pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mencukupi untuk menampung limpahan pemandu dan penumpang kereta kecil yang tidak mampu membayar caj kesesakan.