PHNOM PENH - Dua kanak-kanak berusia 24 bulan maut apabila bom tangan berpandu roket (RPG) yang tertimbus sejak perang saudara melanda negara itu meletup secara tiba-tiba berhampiran kediaman keluarga mereka, menurut pihak berkuasa pada Ahad.
Kejadian letupan menggemparkan itu berlaku pada Sabtu di perkampungan terpencil di wilayah Siem Reap yang pernah menjadi medan tempur antara tentera kerajaan dan pemberontak Khmer Rouge pada 1980-an dan 1990-an.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang bermain dan menggali tanah di kawasan itu dan mungkin terkena objek berkenaan," kata Ketua Pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC), Heng Ratana.
Tragedi itu berlaku selepas Phnom Penh terpaksa menghentikan sementara operasi pemusnahan periuk api setelah pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membekukan bantuan asing selama 90 hari sejak beliau kembali semula ke Rumah Putih pada 20 Januari lalu.
Selepas lebih tiga dekad perang saudara berakhir pada 1998, Kemboja menjadi salah sebuah negara paling banyak mempunyai periuk api tertanam di dunia.
Sejak 1979, kira-kira 20,000 kematian akibat terpijak periuk api dan bahan letupan tidak meletup (UXO) direkodkan di Phnom Penh. - Agensi