JOHOR BAHRU - Kejayaan mengurangkan jumlah sungai tercemar daripada 14 kepada sembilan mendorong kerajaan negeri mempercepatkan usaha pemulihan sungai bagi mencapai matlamat sifar sungai tercemar.
Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, usaha berkenaan bukan hanya sekadar inisiatif daripada kerajaan, tetapi turut memerlukan penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan sungai terus bersih dan bebas daripada pencemaran.
"Kejayaan ini adalah hasil langkah proaktif kerajaan negeri bersama pihak swasta dan sukarelawan.
"Kita tidak boleh membiarkan sungai kita terus tercemar akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pihak.
"Oleh itu, semua rakyat Johor perlu bersama dalam usaha ini kerana kebersihan sungai adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya kepada pemberita.
Onn Hafiz berkata demikian pada sidang akhbar sempena program Southern Volunteers (VS) Go Green @ Johor Bersih Peringkat Negeri Johor 2025 di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau, di sini, pada Ahad.
Setakat ini, antara sungai yang telah berjaya dipulihkan termasuk Sungai Temenin di Kota Tinggi serta beberapa sungai di Batu Pahat dan Pasir Gudang.
Tambah Onn Hafiz, bagi mempercepatkan lagi proses pemulihan, kerajaan negeri telah menyalurkan RM2 juta dalam Bajet Johor tahun ini bagi usaha pembersihan dua sungai yang masih dalam kategori tercemar iaitu Sungai Buluh dan Sungai Tanggal Batu di Pasir Gudang.
Katanya, peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada RM7 juta yang disediakan untuk pemulihan sungai di Johor, dengan tumpuan diberikan kepada langkah komprehensif yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
"Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), bagi memperkenalkan teknologi serta kaedah pembersihan yang lebih berkesan bagi memastikan usaha pemulihan dapat dilakukan dengan lebih pantas.
"Selain peruntukan besar, Johor turut memperkukuh pendekatan dengan melibatkan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran serta memastikan langkah pemulihan berterusan.
"Banyak sampah yang mencemari sungai datang dari kawasan perumahan dan setinggan. Kita tidak boleh lagi membiarkan ini berlarutan. Saya menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperketatkan penguatkuasaan bagi menangani masalah ini,” katanya.