ALOR SETAR - Kebanyakan kedai runcit sekitar bandar raya Alor Setar didapati tidak menjual gula-gula kenyal atau gummy.
Peniaga mendakwa, makanan ringan jenis itu tidak mendapat sambutan di Kedah, menyebabkan ia tidak dijual secara meluas.
Peniaga runcit yang hanya ingin dikenali sebagai Boon memberitahu, dia sudah lama tidak menyimpan stok gummy kerana kurang sambutan daripada pelanggan.
"Gummy sudah lama tak mendapat sambutan di pasaran Kedah, tak laku di sini. Orang Kedah tak makan gula-gula jenis ini,” katanya.
Beberapa peniaga lain di sekitar Alor Setar juga mengesahkan bahawa mereka tidak menjual gula-gula kenyal.
"Permintaan untuk gula-gula jenis ini sangat rendah, jadi kami fokus produk manisan lain yang lebih laris,” katanya.
Bagaimanapun, tinjauan Sinar Ahad mengesan kedai yang menjual gummy bentuk bebola mata, buah-buahan dan beruang.
Pekerja kedai hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 30, memberitahu, kedai itu memang menjual beberapa jenis gummy sebelum ini termasuk yang berbentuk bebola mata.
Bagaimanapun katanya, dia telah menurunkan kesemua produk itu dari rak jualan selepas larangan penjualannya dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, gula-gula kenyal itu dijual pada harga RM10.80 sebotol yang mengandungi 30 biji.
"Untuk sebiji, ada peniaga jual 50 sen sebiji tapi permintaan pelanggan biasa-biasa saja,” katanya.
Sementara itu di JOHOR, tinjauan di beberapa premis perniagaan di sekitar bandar Kluang mendapati gummy berbentuk bebola mata tidak dijual.
Terdapat peniaga memaklumkan mereka tidak pernah menjual gula-gula kenyal itu dan ada juga memberitahu kehabisan stok.
Sementara itu, seorang bapa, Adnan Ibrahim, 58 berkata, walaupun produk itu kini tidak mudah didapati di kedai namun ia masih boleh dibeli secara dalam talian.
"Saya memang larang anak-anak makan gummy kerana warnanya dan khuatir bahan-bahan yang digunakan tak selamat dimakan kerana difahamkan ia produk dari China,” katanya.
Norsyafiqah Abdul Rahman, 35, pula berkata, gummy yang berwarna terang menarik perhatian kanak-kanak untuk memakannya.
"Saya ada tengok sebelum ini, gula- gula itu dijual di kedai tapi tak pernah beli. Apabila ada kanak-kanak yang maut selepas tercekik eyeball gummy, memang agak terkejut dan beri kesedaran kepada ibu bapa supaya tak beli untuk anak-anak,” katanya.katanya.