Bangunan Pasti terbakar, 41 kanak-kanak dan tiga guru berdepan detik cemas

Iklan
Anggota bomba memeriksa bangunan Pasti yang terbakar.

PENDANG - Seramai 41 kanak-kanak dan tiga orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) An-Nur di Kampung Charok Kudong, di sini berdepan detik cemas setelah premis mereka terbakar dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Khamis.

Difahamkan, tindakan pantas guru mengarahkan semua kanak-kanak keluar dari bangunan sebelum dibawa berkumpul ke kawasan selamat, berjaya menyelamatkan kesemua mangsa.

Iklan
Iklan

Bangunan dua tingkat mempunyai struktur konkrit di tingkat bawah menempatkan kelas dan surau lama, manakala tingkat atas berstruktur kayu dipercayai digunakan sebagai stor.

Pengusaha kantin, Wan Nur Najihah Wan Abdul Majidi, 31, yang berada bersebelahan lokasi kejadian itu berkata, dia baru selesai memasak sebelum adiknya memaklumkan kejadian selepas dipanggil seorang guru.

Iklan

“Dia lari jumpa saya di dapur, kata ada api. Saya keluar tengok memang betul, asap berkepul-kepul.

“Saya nampak cikgu bertindak pantas dan bawa keluar murid-murid lari ke kawasan selamat," katanya.

Iklan

Sementara itu, seorang waris, Mohd Zaiful Abd Razak, 51, memaklumkan hanya mengetahui tentang kejadian selepas dihubungi guru meminta menjemput anaknya, Ahmad Rafie, 6.

“Masa itu saya di bendang, jadi saya minta tolong biras pergi ambil. Anak saya selamat tiada cedera apa-apa,” katanya yang ditemui ketika datang semula ke lokasi untuk mengambil beg sekolah anaknya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah memaklumkan, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 10.15 pagi selepas menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999.

Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang dan Jalan Raja membantu memadam kebakaran selain bantuan sembilan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

"Komander operasi (KO) melaporkan bahawa setibanya pasukan di lokasi kejadian mendapati, kebakaran melibatkan sekolah Pasti (kelas B) dua tingkat dengan anggaran kemusnahan bangunan sebanyak 80 peratus.

"Turut musnah dalam kebakaran adalah dua buah motosikal, iaitu Honda Wave dan Yamaha Lagenda dengan anggaran peratusan terbakar sebanyak 90 peratus," katanya.

Jelasnya, kerja-kerja overhaul dijalankan anggota bagi memastikan tiada bara api yang masih menyala dan memastikan keseluruhan kawasan kebakaran telah dipadam.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.18 tengah hari.