Guru didakwa kasari murid ditempatkan di PPD

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengambil tindakan segera dengan menempatkan seorang guru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selepas menerima aduan waris berhubung dakwaan kekerasan fizikal terhadap seorang murid.

Tindakan itu diambil sejurus aduan diterima bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara teratur selain tidak menjejaskan kebajikan murid serta persekitaran sekolah.

Iklan
Iklan

JPN Pulau Pinang dalam satu kenyataan memaklumkan, PPD kini menjalankan siasatan dengan mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan serta meneliti bukti dan dokumen sokongan.

Pada masa sama, kebajikan dan kesejahteraan murid terus diberi keutamaan sepanjang proses berkenaan.

Iklan

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dicederakan seorang guru di sebuah sekolah rendah Cina di daerah Barat Daya, pada 8 September lalu.

Kejadian membabitkan murid berkenaan yang didakwa dipukul guru sehingga mengalami lebam pada bahagian kiri belakang badan dan lengan kiri.

Iklan

Dalam pada itu, JPN Pulau Pinang menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid.

"Bagaimanapun, proses siasatan akan dilaksanakan secara adil berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh.

“Tindakan selanjutnya akan ditentukan berdasarkan dapatan siasatan serta peraturan dan tatakelola yang berkuat kuasa,” katanya.