Kemudahan OKU di stesen tren perlu dikaji semula - Anthony

Iklan
Mangsa seorang lelaki OKU maut selepas terjatuh di rel kereta api di Stesen LRT Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bomba Kuala Lumpur (Gambar kecil: Anthony Loke)

SHAH ALAM - Keselamatan dan kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) di semua stesen tren perlu dikaji semula dan dipertingkatkan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya kini bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan terutamanya Prasarana, untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian tragedi di Stesen Titiwangsa pagi Sabtu yang meragut nyawa seorang penumpang OKU.

Iklan
Iklan

Katanya, Prasarana akan mengambil beberapa langkah penting bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada berulang dengan inisiatif pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pintar di setiap stesen akan berupaya mengesan perilaku penumpang berisiko.

"Bagi jangka masa panjang pula, Prasarana dalam perancangan untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di kesemua laluan LRT sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang.

Iklan

"Sementara itu, penumpang yang memerlukan bantuan tambahan termasuk golongan OKU, dinasihatkan agar menghubungi kakitangan Prasarana atau polis bantuan di stesen bagi memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.

"Bagi pihak Kementerian Pengangkutan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mereka yang terkesan oleh kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas tragedi seorang lelaki OKU buta penglihatan yang maut selepas terjatuh dan digilis tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur pagi Sabtu.

Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terjatuh di kawasan rel sebelum dilanggar oleh sebuah tren yang melintasi kawasan tersebut.

Mengulas lanjut, Anthony Loke turut memberi jaminan bahawa keselamatan dan kebajikan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

"Kerajaan komited untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, inklusif, dan mesra pengguna, demi kebaikan semua rakyat Malaysia," tambahnya lagi.