GEORGE TOWN - Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang dibincang hangat dalam persidangan Parlimen baru-baru ini merupakan salah satu inisiatif yang baik dan efektif untuk membangunkan semula bangunan lama atau bangunan terbengkalai.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H'ng Mooi Lye berkata, melalui inisiatif ini kerajaan dapat membantu meningkatkan kualiti hidup pemilik di kawasan tersebut.
Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) telah mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) Pulau Pinang pada tahun 2022.
"Tujuan garis panduan ini diwujudkan adalah kerana terdapat sebahagian unit-unit kediaman lama telah mencapai usia melebihi 40 tahun di Pulau Pinang.
"Usia bangunan tersebut telah menyebabkan kemerosotan integriti struktur dan lebih memburukkan keadaan adalah masalah semasa tapak dari aspek fizikal, sosial dan pengurusan.
"Dengan pemakaian Garis Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (Pembangunan Perumahan) Pulau Pinang ini, kerajaan negeri berhasrat untuk meningkatkan kualiti persekitaran dan berdaya huni, mengoptimakan infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti, mengoptimakan penggunaan tanah dan sebagainya," katanya menerusi kenyataan di sini pada Sabtu.
Di peringkat Pulau Pinang, Mooi Lye berkata, kerajaan negeri telah meluluskan beberapa projek perintis Pembaharuan Semula Bandar di bawah Pelan Induk Perancangan Pembangunan Rumah Mampu Milik yang akan dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
Jelasnya, sehingga suku pertama tahun 2025, sebanyak lima projek telah dikenal pasti melibatkan 6,837 unit kediaman sedia ada.
"Di bawah projek tersebut, pemilik kediaman sedia ada akan mendapat unit gantian yang lebih luas dan selesa dilengkapi dengan kemudahan masyarakat serta tempat letak kenderaan berbanding dengan unit asal yang kecil (247kps hingga 500kps) tanpa tempat letak kenderaan.
"Unit gantian ini akan diberikan secara percuma," katanya.
Antara projek Pembaharuan Semula Bandar adalah flat di Mahsuri (Bayan Lepas), Padang Tembak dan Taman Free School di bahagian pulau, manakala di Seberang Perai pula melibatkan flat Taman Siakap dan rumah pangsa Mak Mandin.
Dalam pada itu, Mooi Lye berkata, inisiatif yang diambil oleh KPKT adalah untuk memastikan projek-projek Pembaharuan Semula Bandar dapat dilaksanakan dengan lancar serta menjaga hak dan kepentingan pemilik asal yang terlibat dalam projek pembaharuan.
Katanya, akta tersebut juga digubal berdasarkan keperluan mewujudkan badan kawal selia dan badan pelaksana bagi mentadbir pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar serta meningkatkan sumber ekonomi baharu bagi kawasan bandar.
"Usaha kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan akta ini bukanlah mudah kerana ia perlu mengambil kira kekangan perundangan sedia ada dan pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar ini juga perlu mendapatkan persetujuan pemilik hartanah terlibat melalui perundingan dan bukan secara paksaan.
"Kerajaan negeri amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang telah mengambil inisiatif ini dan kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada KPKT.
"Kerajaan negeri juga ingin menegaskan bahawa RUU PSB tidak akan meminggirkan, mengancam atau merampas hak golongan tertentu berdasarkan kaum atau pendapatan khususnya golongan B40," ujarnya.
Selain daripada itu, beliau berkata, pelaksanaan PSB juga perlu mendapatkan persetujuan pemilik hartanah terlibat melalui perundingan dan bukan secara paksaan.
Tambahnya, perkara ini telah berjaya dilaksanakan di projek pertama PSB di Pulau Pinang iaitu PSB Mahsuri yang telah berjaya menamatkan skim strata sedia ada dan telah mendapat kelulusan Kebenaran Merancang.
Jelas beliau, penamatan skim strata ini adalah yang pertama berjaya dilaksanakan di Pulau Pinang.
"Perkembangan ini dilihat mendapat impak yang positif di mana kerajaan negeri telah mendapat beberapa permohonan daripada Perbadanan Pengurusan beberapa skim perumahan berstrata untuk menjadikan skim perumahan tersebut ke dalam projek PSB di Pulau Pinang.
"Oleh itu, PSB tidak harus dilihat sebagai dasar yang merampas rumah dan hak kaum," katanya.