Perak larang warga asing meniaga, bekerja di bazar Ramadan

Iklan
Sandrea (kanan) mengadakan lawatan kerja ke premis hotel di sekitar bandar raya Ipoh yang telah melaksanakan CPT di sebuah hotel pada Jumaat.

IPOH - Warga asing tidak dibenarkan menjalankan perniagaan dan bekerja di bazar Ramadan di Perak.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sehubungan itu, peniaga bazar Ramadan diminta mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum tawaran berniaga di bazar Ramadan diberikan, kesemua peniaga telah diberikan taklimat mengenai perkara tersebut.

"Di Perak memang kita juga mengamalkan pendirian dan peraturan yang sama. Bukan sahaja warga asing tidak dibenarkan menjalankan operasi perniagaan di bazar Ramadan tetapi bekerja juga tidak dibenarkan.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke premis hotel di sekitar bandar raya Ipoh yang telah melaksanakan Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Sandrea berkata, pihaknya tegas mengenai perkara tersebut memandangkan semua peniaga telah dimaklumkan tentang peraturan berkenaan.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan akan bertindak lebih tegas dalam melakukan penguatkuasaan di bazar Ramadan bagi memastikan tiada pekerja dan peniaga warga asing berniaga di tapak berkenaan.

Ia termasuk mengenakan tindakan menyita dan menyenarai hitam peniaga tempatan yang didapati menyewakan tapak bazar mereka kepada warga asing, termasuk mereka yang mengambil pekerja asing.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sandrea berkata, pelaksanaan CPT yang bermula 1 Januari bagi semua kategori hotel di negeri ini menunjukkan perkembangan positif.

Katanya, sehingga kini sebanyak 700 premis daripada lima kategori hotel dengan sebahagiannya masih berstatus lesen sementara telah berdaftar di bawah PBT.

Jelasnya, data itu menunjukkan peningkatan positif dalam pendaftaran premis terutama bagi Kategori 5 yang merangkumi rumah tumpangan, inap desa dan tapak perkhemahan.

"Kerajaan negeri menyasarkan 1,000 pendaftaran premis menjelang akhir tempoh pemutihan yang berlangsung dari 1 Julai 2024 hingga 30 Jun 2025.

"Tempoh ini memberikan ruang secukupnya kepada semua pengusaha untuk melengkapkan proses pelesenan mereka sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan,” katanya.

Sandrea berkata, caj RM3 semalaman yang dikenakan bagi setiap bilik kepada mereka yang menginap di hotel-hotel negeri Perak dilaksanakan mengikut peruntukan Peraturan-Peraturan Hotel Perak 2024 di bawah Enakmen Hotel Perak 2023.

Menurutnya, bagi memudahkan penginap mengenalpasti hotel yang layak mengutip CPT, lesen di bawah Enakmen Hotel dan notis CPT perlu sentiasa dipamerkan secara fizikal, kod QR, atau cara lain pada setiap masa.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang meneliti penambahbaikan kaedahkutipan termasuk cadangan mewujudkan sistem bersepadu dalam talian bagi mempercepatkan pembayaran serta memastikan rekod data yang lebih tepat dan tersusun.

Enakmen Hotel Perak 2023 yang diluluskan oleh Dewan Negeri Perak pada 23 Mei 2023 telah diwartakan pada 20 Julai 2023.