Jangan polemikkan keanggotaan JK Harmoni - Jakim

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung pelantikan 25 tokoh agama sebagai ahli Jawatankuasa Harmoni

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak untuk tidak mempolemikkan jumlah keanggotaan ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK Harmoni) bagi tujuan tertentu yang boleh membangkitkan kegelisahan awam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, JK Harmoni bukan jawatankuasa yang baharu ditubuhkan dan ia sudah bermula dari 14 Ogos 2020 selepas penjenamaan semula Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman Antara Penganut Agama (JKMPKA) sekitar 2010 hingga 2019.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, komposisi keanggotaan tetap sama sejak Januari 2021 iaitu 10 wakil Islam dan 15 wakil bukan Islam.

Jelasnya, fungsi jawatankuasa tersebut antara lain mencadangkan kepada kerajaan berhubung pelaksanaan strategi yang bersesuaian dan berteraskan nilai-nilai murni keagamaan.

Iklan

"Ia bagi meningkatkan kefahaman dan keharmonian mengenai kepelbagaian agama serta melaksanakannya bersama aktiviti-aktiviti kesedaran antara penganut demi manfaat masyarakat.

"Jakim mengambil perhatian serius terhadap hantaran di media sosial yang cuba ditularkan berhubung keahlian JK Harmoni.

Iklan

"Sehubungan itu, kami meminta semua pihak agar bertanggungjawab dan tidak mempolemikkan jumlah keanggotaan JK Harmoni untuk tujuan tertentu yang boleh membangkitkan kegelisahan awam," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Antara yang dilantik dalam JK Harmoni ialah Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Muhammad Nur Manuty; bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Datuk Seri Zaleha Kamarudin; Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil; Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Turut dilantik, Naib Presiden Persatuan Buddha Malaysia, Chuan Yuan; tokoh Buddha, Sing Kan; Pengerusi Persekutuan Kristian Evangelikal Nasional (NECF), Dr Eu Hong Seng dan Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Philip Thomas.

Selain itu, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman, Tan Sri R Nadarajah; Presiden Majlis Gurdwara Malaysia, Sardar Jagir Singh Arjan Singh; Presiden Persekutuan Persatuan Tao Malaysia, Tan Hoe Chieow dan Pengarah UNIFOR, Datuk Georgina Apphia Ngau juga dipilih.

Mereka terdiri daripada 10 wakil Islam, Buddha (empat), Kristian (empat), Hindu (dua), Tao (dua) dan masing-masing satu wakil bagi Sikh, Bahai serta Unit Lain-lain Agama (UNIFOR), Sarawak.