SHAH ALAM - Ibu tunggal menjadi antara wakil komuniti yang menyokong desakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menghantar memorandum kepada kerajaan negeri bagi merayu bantuan perumahan mampu milik.
Menurut mereka, memiliki rumah sendiri bukan sekadar impian kebanyakan ibu tunggal tetapi satu keperluan mendesak kerana kehidupan tanpa pasangan disertai dengan beban kewangan yang berat.
Seorang ibu tunggal, Jothey Letchemy Subramananiam, 44, dari Seksyen 32, Shah Alam berkata, bebanan tersebut termasuk untuk membayar sewa rumah yang semakin meningkat setiap tahun.
Jelasnya, kebanyakan ibu tunggal juga bekerja dalam sektor tidak formal atau mempunyai pendapatan tidak tetap sekali gus menyukarkan mereka untuk mendapatkan pinjaman perumahan.
"Saya dahulunya menyewa sebuah rumah bersama lima anak tetapi dihalau kerana tidak mampu membayar sewa bulanan dan akhirnya terpaksa menyewa bilik pada kadar RM300 sebulan bersama seorang rakan.
"Lebih menyedihkan apabila terpaksa menghantar anak-anak ke rumah kebajikan di Puchong kerana tidak mampu membesarkan mereka di bilik yang sempit dengan gaji saya sebagai pembantu penjual bunga," ujarnya.
Jothey Letchemy ditemui ketika penyerahan memorandum Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Selangor, Parti Sosialis Malaysia (PSM) kepada kerajaan negeri Selangor dan Ketua Pembangkang Selangor.
Memorandum diserahkan kepada wakil Pejabat Menteri Besar, Mohamad Firdaus dan Ketua Sekretariat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN), Sasha Lyna Abdul Latif di pintu pagar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di sini ada Selasa.
Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Sarmila Devi Rejendren, 40, dari Bandar Baru Klang berkongsi kisah sedihnya yang terpaksa menyewa pangsapuri kecil dengan kadar sewaan tinggi iaitu RM900 sebulan.
"Saya terpaksa menyewa pada kadar tinggi selepas permohonan bantuan rumah mampu milik masih tiada jawapan. Saya mampu bayar pinjaman tetapi tidak mampu membayar deposit yang diperlukan,” katanya.
Memorandum yang dihantar mengandungi beberapa tuntutan, termasuk penyediaan rumah mampu milik, wujudkan semula Skim Sewa Beli dan Skim Dana Selangor serta cadangan subsidi terus untuk Rumah Selangorku.
Menurut Penyelaras JRM, Suresh Balasubramaniam, ramai golongan B40 termasuk ibu tunggal mengalami nasib sama dan terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain kerana tidak mampu menanggung kos sewa tinggi.
"Kami berharap kerajaan negeri Selangor dapat memberikan perhatian kepada isu ini kerana golongan B40 yang paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup,” kata wakil NGO tersebut.
Sehingga kini, kerajaan negeri masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tuntutan tersebut, namun pihak berkaitan dijangka akan mengadakan perbincangan lanjut bagi mencari penyelesaian.