SHAH ALAM - Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Siri 2 membincangkan strategi memperbaiki prestasi skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI susulan keputusan pada tahun 2024 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia pada 11 Februari lalu.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut memberi perhatian kepada survei IMD World Competitiveness Yearbook dan Economist Intelligence Country Risk Service yang mengalami penurunan dalam penilaian CPI Malaysia bagi tahun 2024.
Pasukan Petugas Khas CPI dalam satu kenyataan berkata, langkah penambahbaikan yang dicadangkan adalah meningkatkan komunikasi dan advokasi.
Menurutnya, ia merupakan usaha kerajaan ke arah meningkatkan tatakelola melalui inisiatif dan pembaharuan undang-undang seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023,penggubalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan, usaha menangani karenah birokrasi melalui Reformasi Karenah Birokrasi dan penambahbaikan mekanisme pelesenan perniagaan.
"Kumpulan Fokus Daya Saing Perniagaan yang diterajui oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia dan Kumpulan Fokus Pengurusan Dana Awam yang diterajui oleh Kementerian Kewangan akan mengemukakan laporan komprehensif hasil analisis survei dan cadangan penambahbaikan kepada pasukan Petugas Khas CPI supaya langkah intervensi dapat diambil.
"Selain itu, Kumpulan Fokus Perundangan yang diterajui oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri akan memberi tumpuan terhadap reformasi perundangan yang sedang dilaksanakan iaitu pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap ketelusan dan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam," ujarnya pada Selasa.
Tambah kenyataan itu, susulan daripada perbincangan ini, Pelan Hala Tuju CPI 10 tahun telah dirangka bagi mencapai sasaran untuk meletakkan Malaysia di tangga ke-25 terbaik pada tahun 2033.
"Ia menggariskan tiga dimensi utama iaitu Akauntabiliti Bersama, Institusi yang Kukuh dan Berkesan serta Kolaborasi Strategik.
"Bagi memperkukuh kolaborasi strategik usaha ini, Good Governance Conference 2025 akan dianjurkan pada 24 Februari di Putrajaya dengan mensasarkan penglibatan sektor awam, swasta, akademia dan pertubuhan bukan kerajaan," katanya.