KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membangunkan sekolah dengan konsep baharu iaitu membabitkan pembinaan bangunan setinggi antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar pusat bandar raya bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, konsep berkenaan tidak akan mengetepikan semua elemen penting pelajaran seperti kemudahan yang ada dalam pembangunan sedia ada.
Menurutnya, cadangan berkenaan akan dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi tujuan pelaksanaannya kelak.
"Konsep ini digunakan secara meluas di Australia dan ia dibina secara konvensional, merangkumi padang serta blok bangunan dipadatkan menjadikan sekolah dua blok antara 10 hingga 17 tingkat.
"(Konsep) ini (dibuat) tanpa kita mengorbankan elemen penting dalam pelajaran, sukan dan rekreasi, selain ia memanfaatkan ruang atas bumbung," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai pembangunan kemudahan asas seperti dewan dan sekolah di sekitar Kuala Lumpur memandangkan keluasan tanah yang terhad.
Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sudah mengenal pasti 139 tapak dengan keluasan 1,228.95 hektar untuk pembinaan projek yang akan dibuat secara pembangunan semula pada masa akan datang.
Katanya, pembangunan itu akan dibuat seiring Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040).
"Bagi memastikan sasaran ini tercapai, Draf PTKL2040 memperkenalkan Zon Guna Tanah Kediaman 4 (R4), iaitu zon khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam dengan keluasan 354.47 hektar.
"Perumahan mampu milik juga dirancang di zon pembangunan kediaman berintensiti tinggi, zon perdagangan dan zon pembangunan bercampur, dengan tambahan keluasan 253.39 hektar," katanya.
Jelas beliau, keluasan berpotensi tersebut untuk semua jenis kategori rumah mampu milik, tidak terhad kepada projek JWP-Residensi Madani dan Projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).
"Perancangan itu tidak hanya tertumpu kepada tanah kerajaan, tetapi turut mengambil kira penyertaan sektor swasta, selaras kelulusan dan komitmen diberikan bagi tempoh sehingga 2040," katanya.
Tambah beliau, sebagai langkah proaktif dan inisiatif kreatif bagi memastikan perumahan mampu milik dapat diakses golongan memerlukan, Draf PTKL2040 turut menyenaraikan enam tapak bagi Perumahan Awam Sewa Bersubsidi (PASS) di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, ia bertujuan menyediakan kediaman sewaan berpatutan, khusus bagi golongan B40 dan sebahagian daripada M40.
"Kerajaan maklum sasaran menyediakan rumah mampu milik secukupnya di Kuala Lumpur tidak akan terealisasi secara organik kerana sifat industri pembinaan adalah berorientasikan keuntungan.
"Justeru, pembangunan rumah mampu milik di Kuala Lumpur akan dilaksanakan secara lebih tersusun dan inklusif, selari keperluan visi Bandar CHASE yang menjadi rujukan pembangunan Wilayah Persekutuan," katanya.