SHAH ALAM - Tindakan melepaskan ular peliharaan terutama yang dibela sejak kecil ke kawasan awam akan mengundang risiko selain boleh menyeksa haiwan terbabit.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tindakan itu sangat kurang wajar kerana kadar keupayaan haiwan itu untuk terus hidup sangat rendah dan sukar untuk bertahan.
Katanya, spesies haiwan liar belaan dilepaskan boleh menjadi spesies invasif sukar bersaing dengan hidupan liar asli yang kemudian akan derita sebelum mati.
Ujar beliau, persaingan tersebut membabitkan aspek memperoleh makanan dan tempat tinggal.
"Bukan sahaja akan menjadi mangsa kepada haiwan lain, ia juga berkemungkinan membawa penyakit," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Selain itu katanya, haiwan spesies invasif juga boleh merosakkan alam sekitar dan memberi kemudaratan kepada masyarakat.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan perhilitan menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung pemilikan ular sawa tanpa lesen sah.
Penahanan kedua-dua lelaki tempatan itu susulan kes tular berkaitan pelepasan ular sawa di dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.