Pindaan Akta Perhimpunan Aman perlu mekanisme jelas, elak salah guna

Iklan
Muhammad Dzul Aiman

SHAH ALAM - Pindaan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) perlu disertai mekanisme pelaksanaan yang jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, langkah itu selaras dengan prinsip kebebasan berhimpun yang dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Iklan
Iklan

Ujarnya, PKPIM juga sedia mengadakan perbincangan strategik bersama pihak kerajaan, institusi pendidikan tinggi dan pertubuhan masyarakat sivil bagi memastikan pindaan tersebut memberi manfaat kepada rakyat serta membina budaya demokrasi lebih matang di negara ini.

"Mahasiswa harus memanfaatkan kebebasan berhimpun sebagai platform intelektual dengan hujah berasaskan data dan fakta, bukan sekadar laungan.

Iklan

"Pihak berkuasa dan universiti harus lebih terbuka terhadap pandangan mahasiswa tanpa ancaman atau kekerasan, selain mendukung semangat demokrasi dengan memperkukuh hubungan antara kerajaan, mahasiswa serta masyarakat sivil,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan setuju meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 dengan menghapuskan syarat bagi penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran pemilik tempat perhimpunan diadakan.

Iklan

Menurut beliau, ia bagi memudahkan rakyat berhimpun secara aman namun penganjur perlu memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penganjuran perhimpunan dalam tempoh lima hari sebelum ia diadakan.

Tambah Muhammad Dzul Aiman, pindaan berkenaan merupakan satu langkah progresif dan selari dengan prinsip demokrasi dalam memastikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman dilindungi tanpa sekatan birokrasi.

Katanya, PKPIM percaya bahawa pindaan tersebut akan menggalakkan budaya politik lebih matang dan memperkukuh peranan rakyat terutama mahasiswa dalam menyuarakan pandangan terhadap isu nasional serta global.

"PKPIM juga mengalu-alukan jaminan kerajaan bahawa tiada tindakan akan diambil terhadap mahasiswa terlibat dalam penganjuran Himpunan Anti Rasuah, mogok lapar dan bantahan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) baru-baru ini.

"Jaminan itu adalah langkah tepat ke arah menormalisasikan budaya diskusi dan advokasi mahasiswa yang kritis terhadap polisi kerajaan tanpa takut kepada tekanan atau ancaman tindakan disiplin,” ujarnya.