PUTRAJAYA - Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa supaya pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sistem perundangan diperluaskan ke peringkat tertinggi.
Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata, ia termasuklah penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam penghujahan lisan dan bertulis di semua peringkat mahkamah serta penulisan alasan penghakiman bagi kes yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan dan Rayuan.
"Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperincikan lagi dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
"Ia menetapkan bahawa semua prosiding mahkamah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan, kecuali dalam keadaan tertentu yang memerlukan penggunaan bahasa Inggeris bagi tujuan keadilan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Senada dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, agar Bahasa Melayu tidak dianaktirikan dalam profesion guaman dan penggunaannya diperkasakan dalam sistem kehakiman negara, Muhamad Hisham berpendapat usaha itu penting bagi memastikan bahasa kebangsaan terus dimartabatkan sebagai bahasa perundangan negara, selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi.
"Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sistem kehakiman juga akan memastikan akses kepada keadilan lebih inklusif, khususnya bagi masyarakat umum yang sebahagian besarnya lebih fasih dalam bahasa kebangsaan," ujar beliau.
Sehubungan itu, PPMM menyeru semua pihak, khususnya institusi kehakiman dan badan perundangan, agar mengambil langkah lebih proaktif dalam memastikan Bahasa Melayu tidak hanya digunakan secara simbolik tetapi benar-benar menjadi bahasa ilmu serta keadilan dalam sistem perundangan negara.
Terdahulu, Kulasegaran dalam perbahasan di Dewan Rakyat mengingatkan pengamal undang-undang agar tidak menganaktirikan Bahasa Melayu dalam profesion mereka.
Jelas beliau, meskipun kebanyakan silibus pembelajaran, khususnya dalam Sijil Amalan Guaman (CLP), dalam Bahasa Inggeris, namun sebagai peguam mereka perlu fasih menggunakan Bahasa Melayu.