Lelaki tular dalam video kes tetak di bawah pengaruh alkohol

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai tular video kejadian tetak di Jalan Wong Ah Fook pada Selasa.

JOHOR BAHRU - Dua individu yang terlibat dengan pergaduhan bersenjata di Jalan Wong Ah Fook pada Selasa disahkan berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa merupakan lelaki warga tempatan berusia 43 tahun dan mengalami kecederaan di kepala akibat ditetak dengan senjata tajam.

Iklan
Iklan

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana mengalami kecederaan parah dan ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

"Suspek berusia 45 tahun yang bekerja sebagai tukang besi pula ditahan di lokasi kejadian bersama rampasan pisau pemotong daging," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, tular satu rakaman yang memaparkan seorang lelaki terbaring dan terdapat sebilah pisau pemotong daging di Jalan Wong Ah Fook, di sini, petang Selasa.

Terdapat video lain yang menunjukkan kesan darah di atas lantai dan orang ramai memenuhi lokasi kejadian yang merupakan laluan utama di tengah bandar yang menghubungkan ke laluan Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Iklan

Mengulas lanjut, Raub memaklumkan, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai lapan rekod lampau berkait kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Ujarnya, mangsa juga mempunyai empat rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, katanya, semakan lanjut mendapati kedua-duanya tidak dikehendaki polis.

"Dalam pada itu, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

"Suspek yang kini ditahan polis akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)a Akta Dadah berbahaya," ujarnya.