Tolak cadangan ambil etnik Rohingya bekerja

Iklan
Tiada undang-undang membenarkan pelarian daripada mana-mana negara termasuk Rohingya dibenarkan bekerja di Malaysia. (Foto hiasan) Gambar kecil: Norman Fernandez

SHAH ALAM - Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tiada undang-undang membenarkan pelarian daripada mana-mana negara termasuk Rohingya dibenarkan bekerja di Malaysia.

Peguam dan pengamat isu Rohingya, Norman Fernandez berkata, perkara tersebut kerana status golongan itu berada di Malaysia adalah atas ihsan negara dengan syarat akan dipindahkan semula ke negara ketiga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya negara membenarkan pelarian Rohingya bekerja, ia akan mendorong lebih ramai etnik tersebut yang berada di kem pelarian di Bangladesh, Myanmar, Aceh dan Thailand untuk datang ke Malaysia atas alasan menetap dan bekerja secara sah.

"Jadi, cadangan untuk nak ambil pelarian Rohingya sebagai pekerja, patut ditolak. Tak perlu dipertimbangkan langsung, memang kita tak patut terima mereka.

Iklan

"Kalau sudah ada dorongan seperti itu, jadi kita sudah menghantar mesej salah. Kita perlu mengambil kira daripada jumlah 192,240 pelarian dalam negara sehingga Disember 2024, pelarian Rohingya sebanyak 111,670 merupakan yang terbanyak berada di Malaysia,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sebelum ini, sebarang cadangan termasuk rancangan mengambil pekerja dalam kalangan pelarian Rohingya bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam industri makanan dan minuman perlu mengambil kira undang-undang serta dasar negara, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Iklan

Sim berkata, semua pihak termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) bebas memberi pandangan namun perlu mengikut undang-undang dan dasar negara.

Sementara itu, Norman berkata, pelarian Rohingya mempunyai satu tabiat buruk di mana mereka tidak berminat untuk bekerja di bawah sesebuah organisasi dan lebih berminat untuk bekerja sendiri.

"Melalui pengamatan saya bertahun-tahun, mereka memang tidak berminat untuk bekerja dan menjadi pekerja.

"Daripada kita guna pelarian Rohingya untuk bekerja dan mendorong orang lain untuk datang, lebih baik cari jalan lain untuk selesaikan isu pekerja.

"Pentingnya, mereka ini pelarian serta tidak ada apa-apa status, seperti kata menteri, kita mesti lihat pada undang-undang,” ujarnya.

Jelasnya, sekiranya kerajaan memberi keizinan pelarian Rohingya bekerja, ia akan membawa desakan daripada majikan sektor lain untuk menggunakan khidmat pelarian termasuk Rohingya sebagai pekerja untuk sektor mereka.

Tambah Norman, realitinya pelarian tersebut kurang disenangi oleh masyarakat di Malaysia khususnya tahap kebersihan mereka.

"Kalau ambil bekerja di restoran, rakyat Malaysia pula tahu tahap kebersihan mereka, saya rasa restoran akan dapat tempiasnya,” tambahnya.