KUALA LUMPUR - Kesalahan berkaitan lesen kenderaan, lesen pemandu dan teknikal merupakan paling banyak direkodkan sepanjang 21 hari Op Khas Tahun Baharu Cina 2025 di seluruh negara.
Operasi khas itu telah dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 20 Januari lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesalahan berkaitan pelesenan kenderaan merekodkan 29,994 kes diikuti kesalahan mengenai lesen pemandu sebanyak 20,414 kes dan kes teknikal iaitu 15,610 kes.
Menurutnya, kes teknikal ini antaranya ialah tayar botak dan brek.
"Kesalahan brek dan tayar botak antara yang sering kita kesan sepanjang operasi, bukan sahaja operasi Tahun Baharu Cina.
"Jadi, diingatkan semua pemilik atau syarikat untuk memeriksa dahulu kenderaan sebelum memulakan perjalanan agar dua elemen ini dititipkan sebelum apa-apa pergerakan," katanya dalam sidang akhbar di Plaza Tol Sungai Besi di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Bhd (PLUS), Datuk Nik Airina Nik Jaffar.
Aedy Fadly berkata, JPJ telah mengeluarkan sebanyak 107,014 notis atas pelbagai kesalahan ke atas kenderaan dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Jelasnya, selain itu, JPJ telah menyita 724 kenderaan hasil pemeriksaan 429,423 kenderaan.
"Op Khas Tahun Baharu Cina ini menyaksikan penurunan pengeluaran saman iaitu sebanyak 107,014 kes berbanding tahun sebelumnya 207,127 notis.
"Statistik ini menunjukkan terdapat peningkatan tahap kesedaran dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya melalui kaedah penguatkuasaan," katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, mengenai penguatkuasaan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan, operasi itu telah dilaksanakan selama empat hari iaitu pada 27 dan 28 Januari (sebelum perayaan) serta pada 1 dan 2 Februari (selepas perayaan).
"Sebanyak 21 kenderaan perdagangan gagal mematuhi penguatkuasaan itu dan diambil tindakan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Op Tahun Baharu Cina 2025 dilaksanakan JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta semua konsesi lebuh raya.