'Deposit rumah sewa RM5,000, kami tak mampu' - Suami isteri tinggal dalam kereta

Iklan
Faiq (kanan) bersama isteri Rohana bersyukur kerana kini mendiami rumah PPR Kempas Permai. Gambar kanan: Kereta terpakai Proton Wira Aeroback menjadi tempat dia dan isteri berteduh

JOHOR BAHRU - Tidak mampu membayar deposit rumah sewa yang tinggi di kawasan bandar raya ini menjadi punca pasangan suami isteri tinggal di dalam kereta selama dua bulan.

Faiq Lubis Mat Jaya, 39, berkata, pendapatan sebagai penjual air dan buah kelapa di tepi jalan mula merosot sejak dua bulan lalu menyebabkan dia dan isteri Rohana Abu Bakar, 43, mengambil keputusan untuk keluar dari rumah sewa.

Iklan
Iklan

Jelasnya, dia tidak pernah berputus asa mencari rezeki dan mengambil keputusan melakukan pekerjaan sebagai penghantar makanan.

"Di sini, sewa rumah amat tinggi lebih daripada pendapatan kami. Sewa rumah bulanan RM1,500 tetapi deposit rumah sahaja perlu tiga bulan bermakna hampir RM5,000 termasuk bil air dan elektrik.

Iklan

"Mana kami mampu? Paling rendah upah saya dapat sebanyak RM12 sehari," katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini, pada Jumaat.

Menurut Faiq, kereta terpakai Proton Wira Aeroback menjadi tempat dia dan isteri berteduh dengan lokasi Masjid Kota Iskandar dan Surau Nusa Perintis sebagai persinggahan.

Iklan

"Saya dan isteri makan ala kadar untuk berjimat. Tandas di surau dan masjid menjadi tempat kami mandi dan bersihkan diri.

"Ada juga yang bantu hulurkan wang kepada saya dan isteri. Walaupun kami berpindah randah tinggal dalam kereta tetapi belum ada lagi kejadian kecurian," katanya.

Ditanya penggalamannya dan isteri tinggal dalam kereta terpakai jenis Proton Wira Aeroback, Faiq reda dan insaf dengan ketentuan Tuhan.

"Kami fikirkan dalam kubur lagi sempit sebab itu kami sentiasa terima dan insaf dengan ujian yang diberikan," katanya.

Pegawai Khas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dyana Rail (dua dari kanan) melawat Faiq (kanan) bersama isteri Rohana di PPR Kempas Permai.

Faiq mendirikan rumah tangga dengan Rohana pada tahun 2019, namun belum dikurniakan cahaya mata.

Dalam pada itu, Faiq tidak menyangka persinggahannya pada petang Khamis di Masjid Kota Iskandar mengubah kehidupan dia dan isteri apabila Exco Kerajaa Tempatan dan Perumahan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memberikan bantuan rumah.

Sebelum itu, Mohd Jafni berkongsi kisah duka pasangan itu menerusi laman sosial Facebook miliknya menyantuni suami isteri itu.

"Semalam (kelmarin) ketika solat zuhur di Masjid Kota Iskandar, saya dimaklumkan ada sepasang suami isteri yang telah bulan-bulan tinggal di dalam kereta berpindah-randah kerana terpaksa mengosongkan rumah sewa atas faktor kesempitan hidup dan masalah kewangan.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid untuk membantu pasangan suami isteri ini," tulisnya.

Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai memberitahu, pihaknya juga telah meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk segera menempatkan pasangan ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai dibawah unit kecemasan PKPJ.