Dua bulan tinggal dalam kereta, nasib suami isteri dapat perhatian

ISKANDAR PUTERI - Pasangan suami isteri yang kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan sehingga terpaksa tinggal di dalam kereta, berpindah randah selama dua bulan mendapat perhatian.
Kisah pasangan itu dikongsikan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor di Facebooknya pada Jumaat.
"Semalam ketika solat zuhur di Masjid Kota Iskandar, saya dimaklumkan ada sepasang suami isteri yang telah bulan bulan tinggal di dalam kereta berpindah randah kerana terpaksa mengosongkan rumah sewa atas faktor kesempitan hidup dan masalah kewangan.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail dan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid untuk membantu pasangan suami isteri ini," tulisnya.
Mohd Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bukit Permai memberitahu, pihaknya juga telah meminta pegawai Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor untuk segera menempatkan pasangan ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai dibawah unit kecemasan PKPJ.
"Sebelum maghrib petang semalam, pasangan ini dibantu pihak MAIJ dibawah penyelarasan Mohd Fared, dipindahkan ke PPR Kempas.
"JKM dibawah penyelarasan Khairin Nisa juga akan memberikan bantuan yang bersesuaian bagi memastikan pasangan ini boleh meneruskan hidup mereka," katanya.
Beliau menjelaskan kerajaan negeri akan berusaha sehabis baik memastikan kebajikan rakyat Johor dijaga.
"Semoga pasangan ini akan terus kuat semangat meneruskan hidup mereka," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


