Wanita dalam edah dicekup khalwat dengan duda

Iklan
Seorang wanita dalam edah dicekup khalwat dengan duda dalam bilik sewa.

KLUANG - Tindakan seorang lelaki berstatus duda mengunjungi wanita yang masih dalam tempoh edah dalam bilik sewa di sebuah rumah kedai di daerah ini membawa padah apabila pasangan itu dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat.

Pasangan berusia 27 dan 26 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan kira-kira jam 12.15 tengah malam selepas penguat kuasa JAINJ menerima aduan awam berhubung kegiatan disyaki khalwat di premis berkenaan.

Iklan
Iklan

JAINJ dalam kenyataannya memaklumkan, ketika tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati pintu grill rumah kedai itu tidak berkunci sebelum naik ke tingkat atas yang menempatkan beberapa bilik sewa.

"Pemeriksaan dilakukan dengan mengetuk sebuah bilik, namun tiada jawapan diterima walaupun ketukan dibuat beberapa kali.

Iklan

"Selepas kira-kira tiga minit, penguat kuasa terdengar bunyi bising dari dalam bilik berkenaan seperti objek terjatuh.

"Lebih mencurigakan apabila seorang penguat kuasa yang berada di bahagian bawah ternampak individu cuba keluar melalui tingkap bilik berkenaan sebelum diarahkan masuk semula," katanya

Iklan

Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu dengan lebih kuat dan memberi amaran untuk membuka pintu sebelum seorang lelaki berpakaian seluar pendek serta kemeja-T muncul.

Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita berpakaian seluar panjang dan kemeja-T sedang duduk di atas tilam di dalam bilik berkenaan.

"Hasil soal siasat mendapati lelaki terbabit berstatus duda dan bekerja di Kluang, manakala wanita berkenaan berusia 26 tahun serta masih dalam tempoh edah selepas bercerai dengan suaminya.

"Pasangan itu mengaku bukan suami isteri atau mempunyai hubungan adik-beradik, sebaliknya sudah lama berkenalan.

"Lelaki itu turut mendakwa wanita berkenaan bakal menjadi isterinya, namun wanita terbabit masih belum tamat tempoh edah," jelasnya.

Ketika ditanya tujuan berada di bilik berkenaan, lelaki itu memberi alasan sekadar mahu berehat kerana rumahnya dipenuhi ahli keluarga yang pulang dari jauh sempena cuti panjang Deepavali.

Dia juga mendakwa kediamannya terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah kedai berkenaan dan datang dengan menunggang motosikal.

Pemeriksaan mendapati bilik itu hanya dilengkapi tilam, bantal dan pakaian wanita berkenaan yang dipercayai baru menetap di situ selepas berpisah dengan suaminya.

Pasangan terbabit kemudian ditahan kerana disyaki berkhalwat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.