25 minit baru buka pintu, kondo mewah jadi 'port' khalwat

Iklan
Penguat kuasa JAINJ menjalankan pemeriksaan di sebuah kondominium di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Tindakan seorang lelaki membawa teman wanitanya ke sebuah kondominium mewah untuk menghabiskan masa bersama pada awal pagi terbongkar apabila kediaman itu diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), baru-baru ini.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 2.40 pagi di sebuah kondominium 30 tingkat di bandar raya ini, sepasang lelaki dan wanita masing-masing berusia 30 dan 19 tahun ditahan selepas disyaki berkhalwat.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan JAINJ, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan sebelum penguat kuasa mengetuk pintu dan menekan loceng kediaman itu beberapa kali, namun tiada jawapan diberikan.

“Penguat kuasa terus menunggu kerana berkemungkinan orang di dalam sedang nyenyak tidur sekitar jam 2 pagi.

Iklan

“Selepas 25 minit, pintu rumah akhirnya dibuka seorang lelaki yang memakai seluar pendek dan baju-T. Dia kelihatan mengantuk dan baru dikejutkan daripada tidur,” menurut kenyataan itu.

Jelasnya, penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sebelum masuk ke ruang tamu untuk melakukan pemeriksaan.

Iklan

"Hasil pemeriksaan di bilik pertama menemukan seorang wanita sedang berbaring dengan tubuh berselimut sebelum diarahkan bangun oleh penguat kuasa wanita.

"Wanita itu didapati memakai pakaian tidur bersama seluar panjang," katanya.

Menurut kenyataan itu, kedua-duanya mengaku hanya berkawan dan bukan pasangan suami isteri sebelum tangkapan khalwat dilakukan.

“Lelaki berusia 30 tahun itu berstatus bujang, berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur dan bekerja berulang-alik ke Singapura, manakala wanita berusia 19 tahun berasal dari Pasir Gudang dan bekerja di Johor Bahru.

“Rumah ini mempunyai dua bilik dan dua bilik air serta disewa lelaki berkenaan untuk didiami seorang diri. Bilik satu lagi mempunyai ampaian dan dijadikan tempat menyidai pakaian,” menurut kenyataan itu.

Pemeriksaan turut mendapati penghawa dingin kediaman berkenaan dipasang pada suhu 23 darjah Celsius.

Kedua-dua mereka turut mengakui mempunyai hasrat untuk mendirikan rumah tangga apabila ditanya mengenai hubungan mereka.

Bagaimanapun, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, JAINJ memaklumkan pejabat penguat kuasanya beroperasi setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum bagi memastikan aduan orang ramai dapat diambil tindakan.

“Di Johor, pejabat penguat kuasa JAINJ dibuka setiap hari siang malam walaupun cuti Sabtu Ahad atau cuti umum lain.

“Aduan dibuka 24 jam di talian 07-2076429.

“Setiap hari, setelah maklumat dikumpul, aduan akan disemak dan diserahkan kepada penguat kuasa di 10 daerah. Setiap daerah mempunyai pasukan penguat kuasa sendiri termasuk pemandu dan kenderaan untuk operasi,” menurut kenyataan itu.