Pintu hotel dirempuh penguat kuasa, pasangan khalwat cuba lari ikut tingkap

Iklan
Pasangan lelaki dan wanita yang ditahan dalam operasi khalwat di sebuah hotel di Kluang.

KLUANG – Tindakan sepasang lelaki dan wanita yang dipercayai berkhalwat dengan mengunci pintu bilik hotel dari dalam mengundang padah apabila penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) terpaksa merempuh pintu berkenaan selepas lebih 30 minit gagal mendapatkan kerjasama mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi, baru-baru ini, penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan berkala dan rambang terlebih dahulu mengetuk pintu serta memberi salam, namun tiada sebarang respons diterima.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan penguat kuasa JAINJ, pihaknya kemudian meminta kunci pendua daripada petugas hotel selepas lima minit, namun usaha membuka pintu masih gagal berikutan pintu dikunci kemas dari dalam.

"Penguat kuasa telah menghubungi polis dari IPD Kluang dan sepasukan anggota polis telah datang lima minit kemudian. Penguat kuasa dan polis terus memanggil dan memberi amaran supaya bekerjasama tapi masih gagal.

Iklan

"Tidak lama kemudian, penguat kuasa yang menjaga di luar bahagian bawah telah nampak seorang lelaki hendak melarikan diri melalui tingkap. Bilik hotel itu adalah tingkat tiga.

"Aksi ini sangat merbahaya. Salah hemat boleh jatuh terjongkang dan kejong kalau salah step," menurut kenyataan itu.

Iklan

Bagaimanapun, tindakan lelaki berkenaan berjaya digagalkan apabila penguat kuasa menyuluhnya menggunakan lampu suluh sebelum dia kembali masuk ke dalam bilik.

Menurut kenyataan itu, selepas amaran diberikan berulang kali dan menunggu lebih 30 minit, penguat kuasa akhirnya terpaksa merempuh pintu hotel berkenaan sehingga terbuka.

"Pintu yang dikangkangkan itu memperlihatkan keadaan bilik terang dengan seorang lelaki duduk di atas kerusi, manakala wanita duduk di atas katil. Kedua-duanya memakai seluar panjang dan t-shirt," ujarnya.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu berstatus duda dan menetap di Johor Bahru, manakala wanita berusia lingkungan 40-an berstatus janda, berasal dari Perak dan menetap di Kluang.

Pasangan terbabit mengaku bukan suami isteri, namun mendakwa hanya berehat dan tidak melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Apabila ditanya adakah mereka hendak bernikah, mereka mengeleng, menunjukkan tak ada hasrat," menurut kenyataan itu.

Semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod berkaitan jenayah dadah dan pernah dihukum penjara.

Kedua-duanya kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana disyaki berkhalwat dan laporan polis turut dibuat di IPD Kluang.