IPOH - Tiada aduan rasmi dilaporkan kepada kerajaan negeri berhubung pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu yang berkuat kuasa pada 1 Februari lalu.
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, perkara itu merupakan petanda positif menunjukkan penetapan gaji minimum RM1,700 tersebut diterima kalangan majikan dan pekerja.
"Setakat ini, kita tak terima langsung apa-apa aduan. Bermakna semua orang puas hatilah.
"Bagaimanapun kita sentiasa memantau perkara ini. Sekiranya ada majikan tidak membayar, pekerja boleh pergi ke Jabatan Tenaga Kerja dan buat aduan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Sambutan Thaipusam 2025 peringkat negeri Perak di sini pada Khamis.
Media melaporkan, seramai 4.37 juta pekerja menerima gaji minimum RM1,700 sebulan berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu tersebut.
Perintah itu terpakai kepada majikan yang menggajikan lima pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan berkenaan.
Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.
Dalam perkembangan lain, Sivanesan berharap, garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain akan turut melibatkan pandangan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Menurutnya, penglibatan pelbagai pihak dalam perkara itu dapat memberi sudut pandang dan penilaian lebih luas terutama dalam hal menjaga keharmonian serta perpaduan antara kaum.
"Garis panduan itu belum dimuktamadkan, jadi saya fikir ruang untuk berbincang itu masih ada antara kedua-dua pihak.
"Ada sesetengah pihak terutama pemimpin datang kerana dijemput menghadiri program bukannya terlibat dengan aktiviti keagamaan. Perkara ini juga telah lama dipraktikkan dalam negara berbilang bangsa ini," katanya.
Pada Rabu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan garis panduan berhubung perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 pada 25 hingga 27 Februari depan.
Garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.