Pengemis warga asing kudung, cacat raih RM600 sehari

Iklan
Dua daripada 18 pengemis warga asing yang ditahan dalam operasi pada Isnin. - Foto JIM Johor

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Negeri Johor menggempur dua lokasi pasar malam di Kampung Melayu Majidee dan Taman Abad, di sini dan menahan seramai 18 warga asing termasuk lapan yang kudung anggota badan, pada Isnin.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan awam termasuk hasil risikan dilakukan pihak JIM Johor terhadap kegiatan mengemis yang melibatkan warga asing di sekitar kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

"Operasi sekitar jam 7 petang yang disertai sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasa JIM Johor ini berjaya menahan seramai 18 warga asing. Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 40 hingga 69 tahun.

"Pengemis jalanan ditahan melibatkan individu kudung dan cacat anggota badan yang cuba meraih simpati pengunjung pasar malam berkenaan.

Iklan
Seorang pengemis warga asing yang dicekup JIM Johor ketika operasi di dua lokasi pasar malam di Kampung Melayu Majidee dan Taman Abad. - Foto JIM Johor

"Malah, hasil siasatan awal, kesemua pengemis ini mampu menjana pendapatan purata harian berjumlah RM600, seorang,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Iklan

Mohd Rusdi berkata, semua pelawat warga asing di negara ini diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan Imigresen.

Tambah beliau, orang ramai yang ingin membuat aduan diminta menyalurkan maklumat yang tepat dan lengkap melalui https://imi.spab.gov.my/.