JOHOR BAHRU – Muar merekodkan jumlah lokasi panas (hotspot) banjir tertinggi di Johor dengan 65 lokasi dikenal pasti menjelang Monsun Timur Laut (MTL).
Jumlah itu mengatasi Johor Bahru yang mencatatkan 44 lokasi, diikuti Batu Pahat (41), Kota Tinggi (35), Kluang dan Segamat masing-masing 29 lokasi.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko banjir serta memastikan keselamatan rakyat.
Menurutnya, penyelarasan bersama agensi teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah diberi perhatian bagi memastikan tindakan pencegahan dan respons kecemasan dilaksanakan secara bersepadu.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja di Sungai Rinting di sini pada Selasa.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Baharudin Mohamed Taib.
Pada 30 Oktober lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan hujan lebat berterusan dijangka melanda Kelantan dan Terengganu pada November, sebelum membabitkan Pahang dan Johor pada Disember serta Sarawak pada Januari.
Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional MetMalaysia, Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata, antara tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku sepanjang fasa awal Monsun Timur Laut (MTL) dari November hingga Januari.
Dalam pada itu Mohamad Fazli memberitahu, bagi Batu Pahat, JKR mengenal pasti 21 lokasi berisiko di jalan Persekutuan dan jalan negeri membabitkan jajaran sepanjang 6.5 kilometer.
"Persediaan turut merangkumi kerja penyelenggaraan turapan jalan bernilai RM11.79 juta, kerja bukan turapan RM3.20 juta serta peruntukan MARRIS sebanyak RM1.92 juta bagi kerja berkaitan saliran.
"Pelan laluan alternatif melalui FT024 dan Lebuhraya PLUS turut disediakan bagi menghadapi kemungkinan gangguan laluan akibat banjir," katanya.
Sementara itu, Kota Tinggi mencatatkan 35 hotspot banjir berdasarkan kemas kini JPS, manakala JKR mengenal pasti 30 lokasi jalan berisiko terdiri daripada 21 lokasi Jalan Persekutuan dan sembilan Jalan Negeri.
Daerah lain yang turut dikenal pasti mempunyai hotspot banjir ialah Segamat (29), Kulai (27), Tangkak (26), Mersing (22) dan Pontian (19).
Mohamad Fazli berkata, pemantauan kawasan berisiko, penyelenggaraan saliran, pemeriksaan infrastruktur serta kesiapsiagaan aset dan jentera akan terus diberi keutamaan sepanjang tempoh MTL.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengikuti amaran cuaca rasmi dan mematuhi arahan keselamatan, khususnya apabila melalui laluan yang dinaiki air.