Kritik boleh fitnah jangan, nanti korek tabung bayar saman

Iklan
Gambar hiasan

DALAM era media sosial ini, sesiapa sahaja boleh mengutarakan pendapat. Namun, terdapat segelintir individu yang memberi komen secara beremosi dan keterlaluan.

Lebih teruk lagi, ada yang melontarkan tuduhan, fitnah dan ugutan sehingga dikenakan tindakan undang-undang.

Iklan
Iklan

Banyak juga komen yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum dengan kata-kata yang mengundang kemarahan serta kebencian.

Tidak kurang juga ada yang membuat tuduhan palsu bertujuan mengaibkan seseorang. Ini jelas memperlihatkan betapa mudahnya fitnah tersebar di platform digital.

Iklan

Ada pula yang tidak teragak-agak untuk mengeluarkan ugutan jenayah seperti ancaman bunuh atau rogol. Kes seperti yang melibatkan keluarga Harith Iskander yang menjadi mangsa ugutan bunuh di media sosial, menunjukkan betapa seriusnya ancaman sebegini.

Lebih mengecewakan apabila ada yang menghina institusi diraja, memerli atau menyindir dengan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Iklan

Dalam beberapa kes, maklumat tidak benar yang disebarkan melalui komen-komen negatif ini semakin meruncingkan keadaannya, menyebabkan orang ramai jadi keliru dan pening.

Penting untuk kita ingat, sebarang bentuk fitnah atau ugutan di media sosial boleh berakhir dengan tindakan di mahkamah. Individu yang difitnah boleh mengambil tindakan saman terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan.

Akibatnya, mereka yang terlibat terpaksa berhadapan dengan perbicaraan di mahkamah dan membayar saman yang tinggi. Bukan sahaja mereka berisiko kehilangan pekerjaan, bahkan memalukan diri serta ahli keluarga.

Oleh itu, fikir dulu kesannya sebelum memberi komen atau mengkritik. Jangan biarkan emosi menguasai diri hingga diri terjerumus masalah undang-undang.

Kritiklah dengan cara yang membina dan bertanggungjawab, jangan sampai jenuh korek tabung untuk bayar saman.