INSIDEN hakisan pantai yang menjejaskan empat buah rumah berhampiran pekan Sungai Rengit, Kota Tinggi baru-baru ini bukanlah perkara baharu.
Namun, hakisan yang berpunca daripada ombak besar saban tahun itu ternyata membimbangkan penduduk di kawasan sekitar kerana ia jelas mengancam keselamatan keluarga mereka.
Kebimbangan itu kian ketara apabila beberapa rumah di kawasan berkenaan terjejas akibat hakisan ombak yang disifatkan penduduk sebagai terburuk pernah berlaku.
Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI berhubung harapan penduduk yang mahu masalah hakisan pantai ditangani segera.
HAKISAN di kawasan pantai berhampiran pekan Sungai Rengit, Kota Tinggi sudah berlaku sejak sekian lama dan masalah tersebut berulang setiap tahun.
Penduduk, Tan Seng Chea, 68, berkata, hakisan menyebabkan rumahnya terjejas dan perlu dibaik pulih sehingga berulang kali terutama di bahagian belakang.
"Masalah ini sebenarnya sudah lama berlaku. Saya pun sudah berumur 68 tahun. Setiap tahun hadapi masalah sama, lebih-lebih lagi kalau ombak besar melanda.
"Jarak antara pantai ke rumah pula lebih kurang 50 ke 100 meter sahaja, memang dekat sangat. Apabila ombak besar, air akan melimpah dan terjadilah hakisan pantai,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kejadian ombak besar itu biasanya melanda pada November.
"Kali ini ia berlaku lewat sikit iaitu pada Disember, tetapi cepat atau lewat bukan soalnya kerana ia tetap memberi kesan kepada penduduk.
"Setiap kali ombak besar melanda, rumah-rumah di tepi pantai pasti akan terjejas,” katanya.
Pendapat itu turut disokong seorang lagi penduduk, Ong Beng Seng, 60, yang mengakui kejadian ombak besar menyebabkan berlakunya hakisan pantai, sekali gus menjejaskan bahagian belakang rumahnya.
"Saya sudah selalu baiki rumah akibat hakisan pantai, tapi sampai bila kami asyik nak baiki rumah?
"Saya harap sesuatu dapat dilakukan oleh pihak berkuasa bagi membantu kami yang tinggal di tepi pantai ini,” katanya.
Pesara kerajaan, Yan Ah Kow, 73, mendakwa, pihak berwajib ada meminta penduduk untuk berpindah ke penempatan sementara, namun rata-ratanya enggan berbuat demikian.
Ini kerana, mereka bimbang akan keselamatan rumah masing-masing kelak ditinggalkan apabila berpindah nanti.
"Semasa lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin ke kawasan ini, beliau ada beritahu minta kami semua pindah ke satu tempat untuk sementara waktu.
"Tetapi kami bimbang bila pindah nanti rumah tak ada siapa yang jaga. Kalau hujan lebat dan ombak besar, ia akan bagi kesan pada rumah kami,” katanya.
Sehubungan itu, Ah Kow berharap, sekurang-kurangnya dapat dibina satu tembok bagi menghalang ombak besar, sekali gus menghentikan hakisan pantai yang berlaku di kawasan penempatan mereka selama ini.
Cadang pindah penduduk ke kawasan lebih selamat
Sementara itu, Ketua Masyarakat Kampung Baru Sungai Rengit, Lim Kim Hua berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan ADUN Tanjung Surat bagi mengenal pasti penduduk yang benar-benar perlu dipindahkan dari kawasan berkenaan.
Menurutnya, setakat ini sudah ada tiga keluarga yang dikenal pasti dan telah dibawa berpindah ke kawasan penempatan sementara setelah rumah mereka terjejas teruk akibat hakisan pantai yang berlaku.
Katanya, keluarga tersebut dicadangkan agar berpindah ke pangsapuri di Kampung Baru di kawasan Bayu Damai di sini.
"Buat masa ini mereka semua tinggal di kawasan penempatan sementara dan kita juga mahu pindahkan mereka ke kawasan kekal yang lebih selamat dan bukannya baik pulih rumah.
"Kalau baik pulih, nanti bila ombak besar datang akan berlaku hakisan lagi dan lama-kelamaan mereka pun kena pindah juga,” katanya.