SUATU kebanggaan buat ibu bapa apabila salah seorang anak mereka memegang status sebagai pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Tahun kebelakangan ini bukan sahaja para pelajar yang berlumba-lumba mendapatkan tempat di MRSM, sebaliknya ibu bapalah perancang bagi memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan.
Sewaktu Merak Jalanan menghadiri majlis walimatulurus seorang kenalan, terdengar pula cerita dua ibu ini yang tidak puas hati apabila anaknya tidak ditawarkan tempat di MRSM.
Katanya, si anak itu sangat pandai, semua mata pelajarannya skor A. Tetapi rakan-rakan yang kurang bilangan A pula dapat tawaran dan disifatkan sebagai sungguh tidak adil.
Si ibu juga berkongsi kekecewaan kerana telah berhabisan duit menghantar si anak ke kelas tambahan, tidak termasuk aktiviti di luar kelas untuk mencukupkan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Merak Jalanan yang duduk semeja dengan mereka berdua ringan pula mulut bertanya,"Sekarang ini, anak kakak berdua belajar di sekolah mana?”
Jawab salah seorang daripada mereka:"Sekolah kebangsaan biasa sahaja. Hendak buat macam mana, sudah pandai pun tidak layak ke MRSM.”
Merak Jalanan sambil hendak bangun melangkah pulang sempat berkata:"Tidak mengapa kakak, sekolah harian biasa pun kalau bijak pandai, anak akan tetap jadi doktor atau majistret.
Pendirian Merak Jalanan sendiri, status sekolah atau institusi itu sebenarnya bukanlah jaminan setiap penghuninya cemerlang dan mempunyai masa depan yang cerah.
Merak Jalanan lihat, ramai sahaja kawan-kawan yang belajar di sekolah kebangsaan, tapi dapat menyambung pengajian sehingga ke peringkat ijazah di universiti.
Duhai ibu dan ayah, janganlah mengukur kejayaan anak-anak dengan status institusi kerana ilmu tidak berbatas.