BERMULA tahun 2026, nampaknya musim 'londeh kain' sudah benar-benar bermula. Isu sebegini tampaknya bukan sekadar ligat berlaku di pentas hiburan dan pentas antarabangsa, tetapi di gelanggang kuasa dan integriti negara.
Jika di luar negara, rakyat kita dikejutkan dengan kisah jenayah membabitkan mogul Hip Hop, Sean 'P Diddy' Comb serta skandal Fail Eipstein yang melibatkan pelbagai tokoh besar dunia.
Iklan
Iklan
Di dalam Malaysia, pelbagai kisah 'londeh kain' yang boleh rakyat negara ini ikuti. Bermula krisis kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN), konflik dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) hinggalah ke isu 'dalam kain' Pas.
Begitu juga isu pentadbiran kerajaan. Ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah pimpinan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki rancak membongkar pelbagai salah laku bermula daripada kegiatan e-waste, dakwaan penyelewengan wang derma melibatkan beberapa pendakwah, skandal pelaburan oleh tokoh kewangan Islam hinggalah kecurian kabel elektrik.
Namun, dalam drama yang sarat simbolik ini, pentas tiba-tiba berputar. Nama Azam sendiri dipetik laporan media antarabangsa Bloomberg berhubung pegangan saham sebuah syarikat yang dianggarkan hampir RM800,000. Azam menafikan laporan itu dan berhasrat menyaman Bloomberg.
Episod 'londeh-melondeh' ini hakikatnya memberi isyarat lebih besar. Ia mendedahkan betapa isu kelemahan tadbir urus dan integriti masih berakar dalam sistem.
Bagi Merak Jalanan, episod demi episod londeh kain yang terdedah mengingatkan kita bahawa di sebalik angka prestasi cegah rasuah negara semakin naik, namun perjuangan membetulkan sistem masih panjang.