PORT DICKSON - Tentera Darat Malaysia(TDM) mengakui berhadapan cabaran mendapatkan perajurit berkualiti dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, meskipun permohonan yang diterima hampir 10,000 orang pada sesi pengambilan kali ini, namun yang layak dipanggil menghadiri temuduga kira-kira 4,000 sahaja.
"Saya tak malu mengatakan yang kita hadapi satu cabaran (mendapatkan perajurit berkualiti), walaupun tak kritikal, tapi jadi cabaran yang cukup membimbangkan kerana kita kurang sumber atau bakal-bakal perajurit muda yang betul-betul berkualiti.
"Kita tak boleh bersikap terlalu tegas dalam memilih bakal-bakal perajurit ini kerana saya rasa masalah mendapatkan calon ini bukan masalah kita saja tetapi juga di negara-negara lain," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 201/2024 dan Wanita Siri 49/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat(PUSASDA) di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, di sesetengah negara, beliau difahamkan ada yang tidak meletakkan had umur pemohon yang mahu menyertai perkhidmatan tentera.
Malah katanya, ada juga yang dibenarkan berkhidmat semula meskipun telah berhenti sebelum ini.
"Hasil perbincangan saya dengan rakan-rakan sejawat di negara lain seperti di Australia, mereka pun hadapi masalah cukup kritikal sehingga mereka tidak letak sebarang had umur kepada pemohon yang nak sertai tentera," katanya.
Sehubungan itu, katanya, TDM bersedia mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat kemasukan perajurit dengan tidak terlalu kritikal dalam aspek fizikal.
Bagaimanapun katanya, soal kesihatan tetap diberi keutamaan bagi mengelakkan masalah yang akan timbul kepada perajurit berkenaan pada masa hadapan.
"Untuk kita juga, bagi atasi masalah ini, kita telah bincangkan kemungkinan untuk lihat selepas ini kita tidak terlalu kritikal di dalam aspek fizikal tetapi lebih tumpu kepada kemahiran atau kelayakan terutama berunsur sains dan teknologi.
"Jadi, mungkin ada tolak ansur dalam memilih calon-calon, namun kita tidak akan berkompromi dari segi kesihatan tubuh badan kerana kita tak mahu mereka yang kurang sihat atau ada penyakit kerana tidak mahu apabila menyertai latihan nanti mereka akan hadapi kecederaan lebih teruk," katanya.
Selain itu beliau berkata, pihaknya juga masih menghadapi cabaran untuk menarik minat kaum Cina dan India menyertai pasukan itu.
Jelasnya, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan program di sekolah-sekolah, namun beliau berpendapat kurangnya minat kaum lain menyertai pasukan terbabit disebabkan faktor ekonomi.
"Ini kerana mereka lebih cenderung kepada pekerjaan yang menghasilkan pulangan yang tinggi, mungkin disebabkan gaya hidup atau budaya dalam keluarga," katanya.
Dalam perkembangan lain Muhammad Hafizuddeain berkata, seramai 2,800 anggotanya di Sarawak telah diarah bersiap sedia bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri itu.