Bakti terakhir buat isteri di Haramain

Iklan
AZDY tidak dapat melupakan setiap detik mengerjakan umrah terakhir bersama arwah isterinya.

Tunai permintaan terakhir laksana ibadah umrah, dipermudahkan ALLAH dan dibantu wanita berpakaian serba hitam

PUAS HATI dan tenang. Begitulah gambaran terpapar pada wajah seorang suami apabila berjaya menunaikan hasrat isteri mengerjakan umrah buat kali terakhir dalam hayatnya.

Bercerita kisah tersebut kepada Sinar Islam Plus, Azdy Mohd Arshad, 46, berkata, setiap kenangan bersama isteri tercinta yang menghidap kanser rahim itu di Tanah Suci Makkah dan Madinah akan terus terpahat di hatinya.

Iklan
Iklan

“Ia merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan buat saya bersama arwah isteri,” luahnya pada permulaan bicara.

DUA minggu selepas menunaikan umrah, Masayu 'pergi' buat selama-lamanya.

Iklan

Mengimbau kembali kisah duka dan ujian yang menimpa mereka, Azdy yang merupakan Pengurus Kanan Jabatan Perolehan, Penang Port Sdn Bhd berkata, segala-galanya bermula pada Februari 2022 apabila isterinya, Masayu Azreen Md Said, 43, disahkan menghidap penyakit tersebut.

“Doktor maklumkan isteri menghidap kanser rahim tahap empat dan sel-sel kanser telah merebak ke bahagian buah pinggang, perut dan paru-paru.

Iklan

Tambahnya, berat untuk beliau menerima berita tersebut setelah 16 tahun mengharungi kehidupan bersama namun isterinya seorang yang sangat positif dan bersetuju untuk menjalani rawatan kimoterapi bagi merawat penyakitnya itu.

“Saya lihat terlalu banyak kesakitan dan keperitan yang dilalui isteri sepanjang rawatan sejak kali pertama hingga selesai enam pusingan semuanya,” luahnya sedih.

Namun sekali lagi berita tidak enak didengar Azdy apabila doktor memaklumkan keadaan isteri bertambah teruk akibat sel-sel kanser yang semakin mengganas walaupun rawatan kimoterapi menggunakan dos yang tinggi.

Luah hasrat ke Tanah Haram

Sehari selepas berjumpa doktor, isterinya meluahkan impian untuk mengerjakan umrah dan menziarahi Madinah buat kali terakhir bersama.

Jelasnya, beliau hanya memikirkan cara untuk menguruskan perjalanan isterinya yang sangat lemah di samping perlu menolak troli bagasi dan kerusi roda isteri dalam masa yang sama.

“Apa yang lebih penting ialah siapa yang akan mengiringi isteri ketika di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram untuk ke ruangan Muslimah dan pelbagai perkara lagi.

KEADAAN di Masjidil Haram yang sentiasa dipenuhi umat Islam untuk melaksanakan ibadah. Foto CANVA

“Kami perlu segerakan perjalanan dan dengan bantuan seorang sabahat, kami membeli tiket kapal terbang dan dapat duduk di kerusi bahagian hadapan selain hotel yang berdekatan dengan pintu Masjid Nabawi dan Masjidil Haram,” ceritanya.

Dipermudahkan urusan, dibantu wanita berpakaian serba hitam

Di Tanah Haram, sekali lagi urusan mereka dipermudahkan selepas bertemu dengan rakan yang juga mutawif yang sedang membawa rombongan ketika mengerjakan umrah.

“Dia turut menemani isteri ketika beratur panjang dan menolak isteri ketika memasuki Raudah selain menjadi teman berbicara serta peneman setia sepanjang berada di sana.

“Betapa hebat dan luar biasa perancangan ALLAH. Kadang-kadang saya sendiri tidak percaya dengan bantuan ini,” ujarnya lagi.

Bercerita lanjut, terdapat satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan ketika hari kedua di Makkah sebelum memasuki Masjidil Haram untuk solat Zuhur.

“Kami sedikit lewat memasuki Masjidil Haram untuk menunaikan solat ketika itu dan orang terlalu ramai memasuki ruangan Muslimah sehingga pengawal masjid menutup pintu masuk.

AZDY bersyukur dapat menunaikan permintaan terakhir Masayu untuk mengerjakan umrah.

“Dia menghalang saya yang sedang menolak isteri untuk melalui pintu tersebut dan disuruh beredar walaupun sudah merayu. Kami hanya berdoa dan berserah kepada ALLAH agar dibenarkan isteri masuk ke dalam.

Tambahnya, wanita serba hitam itu terus menolak isteri melalui pintu tanpa dihalang pengawal masjid sedangkan ramai wanita lain tidak dibenarkan masuk dan diarahkan beredar.

“Menurut isteri, wanita itu langsung tidak berbicara ketika disapa. Apabila tiba di kawasan tangga, dia menolak kerusi roda tanpa isteri merasai sebarang hentakan.

“Dia menolak dengan lancar walaupun laluan terhalang dengan ramainya jemaah yang berkumpul untuk solat.

“Anehnya, isteri ditolak sehingga ke saf agak hadapan sedangkan ketika itu saf padat dipenuhi jemaah. Bagaimanapun sebelum sempat isteri hendak mengucapkan terima kasih, wanita tersebut hilang dari pandangan,” jelasnya.

Katanya, sehingga kini dia tidak mengenali wanita misteri yang membantu isterinya pada ketika itu dan menganggapnya ia pertolongan ALLAH buat hamba-NYA yang bertawakal.

Azdy menambah, dua minggu setelah pulang daripada mengerjakan umrah, ALLAH telah menjemput isterinya buat selama-lamanya.

“Saya sangat bersyukur dapat menunaikan hajat arwah isteri untuk mengerjakan umrah kali terakhir.

“ALLAH juga telah memudahkan segala urusan kami sebelum dan sepanjang kami menunaikan ibadah bersama di sana,” katanya yang banyak mengucapkan kalimah Alhamdulillah.