SHAH ALAM - Malaysia bakal mencipta sejarah menjadi negara pertama dalam kalangan anggota ASEAN bakal melancarkan Projek Bandar Wakaf bagi membangunkan semula Gaza selepas Ramadan nanti.
Projek berimpak tinggi membabitkan kos RM120 juta berkenaan bakal dinaungi sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selaras dengan peranan beliau sebagai peneraju ASEAN yang menekankan solidariti dan pembelaan terhadap rakyat Palestin.
Pengarah Projek Bandar Wakaf, Datuk Sani Araby berkata, ia bukan sahaja mencerminkan komitmen Malaysia dalam membantu membangunkan semula Gaza pasca peperangan, malah memperkukuh kedudukan negara di pentas antarabangsa sebagai penyokong utama perjuangan rakyat Palestin.
Menurutnya, projek berkenaan turut memperkukuh agenda Malaysia Madani yang menekankan keprihatinan terhadap isu global, khususnya dalam memperjuangkan keadilan dan hak asasi manusia di Palestin.
"Projek berkenaan bukan sekadar inisiatif bantuan, tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat global.
"Ini adalah himpunan hati dan solidariti Malaysia merangkumi semua bangsa dan agama yang menjayakan untuk bina semula Gaza," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Projek dianggarkan bernilai RM120 juta berkenaan dijayakan dengan pemberian tanah wakaf seluas 87 ekar di Khan Yunis yang telah dimeterai menerusi perjanjian ditandatangani di Gaza pada Februari 2023 semasa Misi Khas Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) baru-baru ini.
Antara komponen utama projek berkenaan termasuklah pembinaan Masjid Berkembar Shah Alam, Apartmen Wakaf Selangor, dan Menara Tangki Air – diwakaf oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada komitmen negeri dalam membantu membangunkan semula Gaza.
Komponen kedua merangkumi pembinaan Sekolah Malaysia di Bandar Wakaf Gaza – diwakafkan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang diketuai oleh Muhammad Nadir Al-Nuri, yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Projek Bandar Wakaf Malaysia-Gaza.
Projek ketiga merangkumi pembinaan Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya – ditaja oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), dengan penglibatan langsung Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), sebagai pusat makanan komuniti yang akan menyediakan bantuan makanan harian kepada penduduk Gaza.
Komponen keempat ialah Apartmen Wakaf oleh Negeri-Negeri Lain – Kerajaan negeri Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka, dan Pulau Pinang telah bersetuju untuk sinergi wakaf di Gaza sebagai sebahagian daripada inisiatif ini.
Sani berkata, beliau yakin projek berimpak tinggi berkenaan dapat dibangunkan dengan sokongan langsung Perdana Menteri, menteri dari semua kementerian serta kerjaan negeri termasuklah agensi, badan korporat dan juga rakan NGO.
Ujarnya, sokongan padu Kerajaan Malaysia dan NGO zahirkan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza sebagai usaha nasional membina semula Gaza.
"Projek ini turut mendapat perkenan Sultan Selangor, yang menitahkan dan melancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024 sebagai sebahagian daripada usaha negeri dalam membangunkan Gaza," katanya.
Katanya, pengalaman Mapim serta rakan sinergi CGM, Gagasan MyAqsa Defender berjaya membina 10 masjid di Gaza serta membantu membaikpulih semula hospital, sekolah, ruang ekonomi serta rumah saudara Gaza menjadi pengalaman penting untuk kesinambungan projek ini.
"Malaysia telah melakar sejarah berjaya menghantar bantuan kemanusiaan siri demi siri dari Ops ihsan Mapim hinggalah misi-misi khas termasuk merawat keluarga Gaza di Malaysia dan mengeluarkan keluarga Nadir Al-Nuri.
"Kini, negara komited dalam membangunkan semula Gaza dengan konsep wakaf yang mampan dan jangka panjang.
"Ini adalah langkah ke hadapan dalam usaha kita memastikan rakyat Palestin dapat kembali menjalani kehidupan yang lebih baik," katanya.