PENGGUNAAN teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dahulu pernah ditakuti orang ramai, kini menjadi salah satu sumber rujukan setiap antara mereka yang memerlukan.
Ada yang menggunakannya untuk membantu memudahkan urusan kerja atau seharian termasuk juga dalam bidang pendidikan dan sebagainya.
Namun, seiring dengan kemajuan teknologi AI, kemampuannya untuk menghasilkan kandungan yang kelihatan sahih juga meningkatkan cabaran dalam memerangi berita palsu yang semakin berleluasa di media sosial.
Menyentuh mengenai perkara itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, setakat 27 Januari, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memohon penurunan 1,575 kandungan berita palsu dan daripada jumlah itu, 1,233 kandungan diturunkan setelah disahkan palsu.
Pada 2024 pula, SKMM memohon penurunan 19,546 kandungan berita palsu daripada pelbagai platform dalam talian dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,245 kandungan diturunkan setelah turut disahkan sebagai berita palsu.
Penyebaran berita palsu ibarat suatu barah dalam masyarakat Malaysia yang tidak pernah berkurangan tambah lagi ia sering disebarkan melalui platform media sosial.
Berita palsu yang tersebar sering kali menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta memberi kesan negatif kepada keharmonian sosial dan kestabilan politik negara.
Oleh itu, pada Selasa, Fahmi melancarkan Chatbot Sebenarnya.my, bertujuan memerangi maklumat palsu dan membolehkan pengguna menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.
Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) yang diterajui SKMM itu merupakan platform mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam menerusi portal https://sebenarnya.my/ dan platform WhatsApp (menerusi talian 03-8688 7997) yang dibangunkan dengan teknologi AI.
Jelasnya, ia membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih secara cepat dan mudah, mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian dan memperkukuh peranan Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran maklumat palsu di Malaysia.
Difahamkan juga, AIFA turut menggunakan algoritma dan pembelajaran mesin untuk memadankan maklumat dengan sumber boleh dipercayai, seterusnya menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih secara pantas kepada pengguna.
Kerajaan Malaysia, sekali lagi menyediakan inisiatif untuk memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat.
Inisiatif ini juga diharapkan dapat memperkukuh usaha kerajaan dalam memerangi berita palsu seterusnya menjadi langkah proaktif dalam menjaga kestabilan sosial dan kepercayaan awam terhadap media.
Secara keseluruhannya, penggunaan AI dalam menangani penyebaran berita palsu semakin penting kerana ia mampu memproses dan menyaring maklumat dengan cepat.
Oleh itu, masyarakat diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi, bagi memastikan kita tidak terjebak dalam penyebaran maklumat yang salah.
tamat