'Hari ini paling sedih, 111 tahun kilang kicap operasi terpaksa ditutup'

Iklan
Faktor usia dan kesihatan, membuatkan Pak Tong sudah tidak mampu untuk mengurus dan meneruskan operasi kilang.

GOPENG - Ketika masyarakat Cina di seluruh negara membuat persiapan ketibaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada esok, lain pula situasinya bagi Low Pak Tong, 72.

Seawal jam 7 pagi, warga emas itu sudah berada di premisnya, Kilang Kicap Hup Teck terletak di Kampung Rawa Baru di sini bagi menyelesaikan kerja-kerja akhir.

Iklan
Iklan

Kilang yang beroperasi sejak 1914 tersebut menamatkan perniagaannya hari ini selepas 111 tahun beroperasi dalam pembuatan kicap.

Pak Tong memakai kemeja corak kotak kuning biru dan berseluar pendek kelihatan tenang melayani pelanggan yang hadir buat kali terakhir mendapatkan baki bekalan kicap yang masih ada dari kilang tersebut.

Iklan
Pak Tong merenung sayu deretan tempayan yang sebelum ini digunakan dalam penghasilan kicap di kilangnya di Kampung Rawa Baru, Gopeng.

Namun raut wajahnya jelas menunjukkan perasaan pilu dan berat hati yang mendalam untuk meninggalkan perniagaan menjadi warisan keluarga itu.

Matanya jauh merenung deretan tempayan yang sebelum ini digunakan dalam proses pembuatan kicap tersebut, memikirkan rutin diri yang bakal berubah bermula esok.

Iklan
Pak Tong bersama stok terakhir kicap keluaran kilangnya sebelum menutup sepenuhnya operasi pada Selasa.

Ketika ditemui pemberita, Pak Tong berkata, keputusan menutup operasi kilang tersebut terpaksa dibuat kerana tiada pewaris mahu menyambung perniagaan tersebut.

Katanya, ditambah faktor usia dan kesihatan, membuatkan dirinya sudah tidak mampu untuk mengurus dan meneruskan operasi tersebut.

"Kaki dan tangan saya sudah tidak kuat seperti dulu. Nak angkat penutup tempayan pun, saya sudah tidak larat.

"Orang muda yang ada pula, lebih suka kerja di luar. Jadi antara mahu dan tidak, keputusan sukar ini terpaksa dibuat.

"Hari ini akan saya kenang, menjadi hari paling sedih buat saya," katanya.

Pak Tong bersama deretan tempayan yang digunakan bagi menghasilkan kicap.

Anak sulung daripada dua beradik dan masih bujang itu mengambil alih perniagaan terbabit bermula 1985 iaitu selepas dua tahun bapanya, Low Kong meninggal dunia.

Penghasilan kicap itu diasaskan mendiang bapanya bersama dua rakan melalui proses penapaian menggunakan gabungan bahan utama seperti kacang soya, tepung gandum, gula dan garam.

Semua bahan tersebut dimasukkan ke dalam tempayan-tempayan dan dibiarkan di bawah terik matahari selama tiga bulan bagi membolehkan sifat semula jadi kicap terbentuk.

Demi mengekalkan keaslian rasa kicap, Pak Tong meneruskan tradisi pembuatan tersebut yang sehingga kini menjadi buruan pelanggan setianya.

Sebahagian daripada pelanggan yang datang mendapatkan stok terakhir kicap keluaran kilang Hup Teck.

Katanya, mengikut perancangan, kilang itu sepatutnya ditamatkan operasi pada Disember, tetapi ditunda selama sebulan bagi membolehkan pelanggan mendapatkan kicap buat kali terakhir untuk hidangan perayaan Tahun Baharu Cina ini.

"Untuk baki terakhir ini, hanya ada 150 botol, edaran dibuat mengikut tempahan yang diterima sahaja.

"Saya mohon maaf kepada semua pembeli. Terima kasih kerana menyokong kicap kami selama ini.

"Sudah sampai masanya untuk saya berehat. Selepas ini saya mahu beri tumpuan menjaga ibu saya yang sudah uzur," katanya.