Dua beradik simpan van jenazah curi kerana hutang along

Iklan
Faizal (kanan) dan Abdul Hamid (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada Selasa bagi menghadapi pertuduhan kes menyimpan van jenazah yang dicuri daripada sebuah masjid, Sabtu lalu.

KLANG - Demi melunaskan hutang along, dua beradik yang didakwa menyimpan van jenazah curi dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Abdul Hamid Rizan, 27, dan adiknya, Faizal Rizan, 23, yang juga pekerja gudang sebuah platform e-dagang dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan yang dibaca di hadapan Majistret, Amirul Asyraf Abd Rashid.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula tarikh tangkapan 25 Januari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama menyimpan harta curi iaitu sebuah van jenazah jenis Toyota Hiace bernilai RM30,000 yang dilaporkan hilang, milik sebuah masjid di Kampung Telok Gong, di sini.

Iklan

Kesalahan itu didakwa dilakukan di surau sebuah pangsapuri di Iskandar Puteri, Johor sekitar jam 1.05 pagi pada 25 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, peguam, Mark Jeyakumar yang mewakili kedua-dua tertuduh berkata, dua anak guamnya melakukan kesalahan itu kerana terdesak selepas diganggu peminjam wang tidak berlesen.

"Mereka merupakan anak yatim, membuat pinjaman itu kerana mahu menanggung isteri termasuk menyara dua lagi adik mereka berusia 14 dan 17 tahun.

"Kedua-dua anak guam dijanjikan, akan mendapat bayaran RM30,000 jika melakukan kesalahan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohamad Rabiul Awal Ishak mencadangkan, dua tertuduh itu dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

"Harta curi itu merupakan kenderaan yang digunakan bagi kemudahan awam untuk pengurusan jenazah,” katanya.