Orang Singapura suka beraya di Malaysia

Iklan
Kesesakan dijangka berlaku di pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

SEJAK seminggu lalu, sudah terasa kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina dengan pelbagai hiasan lampu berwarna-warni di kawasan tumpuan dan pusat beli-belah di bandar raya Johor Bahru.

Suasana itu turut menggamit kehadiran rakyat Singapura untuk membeli-belah membuat persiapan, lebih-lebih lagi dalam keadaan nilai ringgit yang kecil berbanding dolar Singapura.

Iklan
Iklan

Sudah menjadi tradisi ketika Tahun Baharu Cina, ramai rakyat Singapura mengunjungi keluarga dan sanak saudara yang tinggal di Malaysia. Selain Johor Bahru, beberapa negeri lain menjadi tumpuan mereka seperti Melaka, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Disebabkan itu, laluan darat Malaysia ke Singapura melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Second Link sudah tentu akan sesak luar biasa terutama pada waktu puncak menjelang perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Iklan

Menurut kenyataan pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), tempoh puncak kesesakan dijangka bermula 24 Januari lalu sehingga 2 Februari ini.

Pihak berkuasa itu turut menekankan, peningkatan mendadak jumlah pengembara semasa cuti sekolah akhir tahun baru-baru ini apabila lebih 24 juta pengguna melalui pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas, peningkatan 20 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Iklan

Kesesakan juga dijangka berlaku di pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

Walaupun pada hari biasa pun, keadaan lalu lintas di kedua-dua bangunan berkenaan amat sibuk, namun pergerakan keluar masuk rakyat kedua-dua negara itu akan meningkat setiap kali tiba musim perayaan.

Situasi sama berlaku pada Tahun Baharu Cina pada Februari tahun lalu apabila lebih 400,000 pengembara memasuki Malaysia melalui Tambak Johor dan Linkedua.

Kenderaan dari Singapura ke negara ini, ditambah musim perayaan selain cuti sekolah ketika ini, sudah tentu menyumbang kepada kesesakan lalu lintas terutama terutama di laluan di pusat bandar raya Johor Bahru.

Disebabkan itu, Johor Bahru memerlukan sistem jaringan pengangkutan awam yang relevan bagi mengurangkan kesesakan ketika musim perayaan.

Ketika ini, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura giat dibangunkan dengan kemajuan kerja-kerja pembinaan infrastruktur rel projek telah mencapai 83 peratus setakat akhir Julai tahun lalu.

Menghubungkan Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru ke Stesen Woodlands North di Singapura, ia dianggarkan mengambil masa sekitar 15 minit untuk perjalanan termasuk pelepasan imigresen.

Dengan kapasiti sehingga 10,000 penumpang setiap jam bagi setiap arah dan masa perjalanan kira-kira lima minit antara kedua-dua stesen, RTS Link akan menyediakan perjalanan mudah dan selesa antara Singapura dan Johor Bahru.

Sistem pengangkutan yang dianggarkan menelan belanja RM10 bilion itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari 2027.

Dalam tempoh dua tahun sahaja lagi, kesesakan trafik di laluan masuk kedua-dua negara yang berlaku setiap hari dan menjadi luar biasa ketika musim perayaan, akan berakhir.

Namun buat masa sekarang, rakyat kedua-dua negara masih perlu menempuh kesesakan lalu lintas di laluan masuk dan keluar di Tambak Johor dan Second Link.

Apa pun, mereka yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas perlu bijak mengawal emosi dengan tidak terburu-buru membuat sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang.

Banyak kejadian tidak diingini berlaku sebelum ini sehingga tular di media sosial boleh dijadikan pengajaran.

Kesesakan luar biasa di dua pintu masuk sempadan Malaysia dan Singapura, peningkatan kenderaan yang memasuki negeri ini turut meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

Buat orang Johor Bahru, rancang perjalanan sebaiknya bagi mengelak tersangkut dalam kesesakan di kawasan bandar raya.

* Nor Azura Md Amin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Johor