SHAH ALAM - Agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memainkan peranan penting dalam usaha mengekang politik fitnah di negara ini.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, tugas badan-badan berkenaan adalah untuk menyiasat konten dalam media sosial yang berunsur fitnah.
Katanya, sekiranya siasatan yang dilakukan membuktikan terdapat fitnah yang disebarkan, individu terlibat boleh didakwa di sisi undang-undang.
"Ia sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika memuat naik konten di media sosial.
"Bagaimanapun, jika kandungan mereka adalah benar ataupun kritikan itu ada asas, pihak berkuasa tidak boleh menindas mereka atau mengambil tindakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, kenyataan berunsur fitnah amat berbahaya kerana boleh menggugat ketenteraman dan menjatuhkan kreadibiliti seseorang.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pun pernah menerima fitnah seperti beliau menghidap penyakit AIDS dan macam-macam lagi tuduhan yang tidak berasas,” tegasnya.
Mazlan yang juga pensyarah di Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, rakyat berhak untuk mengritik pentadbiran kerajaan sekiranya tidak berpuas hati.
"Namun, pihak yang menentang ini sepatutnya menggunakan platform demokrasi itu untuk menyuarakan kritikan kerajaan melalui ahli Parlimen masing-masing.
"Mereka boleh kritik tetapi jangan membina naratif fitnah yang boleh mengelirukan rakyat dan menjejaskan keharmonian masyrakat serta negara,” ujarnya.