KOTA BHARU - Sebanyak 19 kawasan dikenal pasti sebagai 'hotspot' berisiko kemalangan di negeri ini membabitkan selekoh, kawasan pembinaan dan jalan sempit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Kelantan, Farhan Sufian Borhan berkata, jumlah kenderaan dijangka meningkat dalam musim perayaan Tahun Baharu Cina memungkinkan berlaku risiko kemalangan jalan raya di kawasan terbabit.
Menurutnya, antara lokasi yang dikenal pasti ialah Kilometer (KM) 11-14 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, KM57-58 dekat Kampung Keroh - Jalan Kota Bharu, Gua Musang, Lebuh Raya Timur Barat, Simpang Tiga Tok Khamis Sempadan Machang dan Kampung Repek, Jalan Meranti Jong.
"Kita turut memfokuskan pemantauan Lebuhraya Pantai Barat dan kawasan Gua Musang yang menjadi laluan utama masuk ke Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baharu China 2025 yang dirasmikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah.
Farhan Sufian memberitahu, rondaan juga akan dilakukan sepanjang seminggu sebelum dan selepas musim perayaan selain rondaan berkala.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai menghadkan atau aktiviti air yang berisiko menyebabkan lemas.
"Ketibaan Tahun Baharu Cina bersama cuti persekolahan sudah tentu menjadikan aktiviti rekreasi termasuk lokasi air sebagai tumpuan pengunjung yang sebahagian besarnya merupakan pelajar dan kanak-kanak.
"Antara lokasi tumpuan ialah Pantai Bachok, Pantai Kemayang, Jeram Mengaji serta beberapa lokasi lain," katanya.
Jelas beliau lagi, menjadi kerisauan pihak bomba apabila negara masih lagi dalam fasa Monsun Timur Laut dengan keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Syor kami seboleh-bolehnya memastikan langkah-langkah keselamatan kendiri diambil serius agar diri dan ahli keluarga berada dalam keadaan selamat," katanya.