KUALA KRAI - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mendedahkan insiden haiwan ternakan berkeliaran dan dirempuh tren di landasan kereta api direkodkan hampir setiap minggu.
Pemangku Pengurus Besar Kawalan Operasi KTMB, Sadun Abdullah berkata, ia menyebabkan pihaknya terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000 setiap tahun.
Menurutnya, pelanggaran itu kerap berlaku di sepanjang landasan dari Gemas, Negeri Sembilan hingga Tumpat, Kelantan.
“KTMB menanggung kerugian akibat kerosakan dan kelewatan operasi, manakala penternak pula kehilangan ternakan.
"Ini kerugian dua hala yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya ketika ditemui pada Program KTMB Santuni Pelajar Sekolah Wilayah Pantai Timur sempena Hari Pertama Persekolahan 2026 di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan ETS dan Antarabandar KTMB, Mohd Azhar Abu Bakar dan Pengurus Wilayah Timur, Basri Abu Bakar.
Tambahnya, KTMB telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk kempen kesedaran keselamatan, sesi libat urus bersama penternak dan ketua kampung.
Katanya, selain itu pengedaran risalah di surau dan masjid juga turut dilakukan bagi mengingatkan pemilik ternakan agar lebih bertanggungjawab.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi mengelakkan kerugian berterusan serta memastikan keselamatan operasi kereta api dan pengguna sentiasa terjamin,” katanya.