KUALA KRAI -"Tanpa kereta api, kami tidak dapat ke sekolah. Biar terpaksa bangun seawal jam 5 pagi, kami sanggup daripada meredah hutan dalam kegelapan."
Demikian kata Ami Qistina Luqman, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong di sini yang bergantung kepada pengangkutan tersebut untuk menuntut ilmu.
Pelajar tingkatan empat itu merupakan antara ratusan pelajar yang menjadikan kereta api sebagai pengangkutan utama untuk ke sekolah sejak 17 tahun lalu bermula 2009 apabila hanya di Dabong terdapat sekolah menengah.
Ujarnya, pelajar yang tinggal di Kuala Gris, Bukit Abu, Ulu Temiang, Slow Pok Long dan Kemubu tidak mempunyai pilihan apabila keadaan muka bumi di kawasan tersebut yang berbukit bukau serta berisiko terutama kepada pelajar sekolah pada awal pagi memaksa mereka menggunakan perkhidmatan tersebut.
"Lagipun ia ditawarkan secara percuma oleh KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) melalui program MyRailLife. Kami tidak perlu membayar sesen pun untuk harga tiket
"Ia hanya mengambil masa selama 15 minit sahaja kemudian berjalan kaki ke sekolah dari stesen sekitar dua atau tiga minit," katanya kepada Sinar Harian semasa ditemui pada hari pertama persekolahan di Stesen Kereta Api Kuala Gris di sini pada Ahad.
Menurut dia, mereka akan pulang sekitar jam 2.30 petang menaiki kereta api semula dan itu merupakan rutin harian setiap kali sesi persekolahan bermula.
Ujarnya, perkara yang paling ditakuti apabila terjaga lewat dari tidur sehingga menyebabkan terlepas kereta api.
Ami Qistina memberitahu, jika terlepas kereta api pilihan yang ada ialah terpaksa ponteng sekolah.
"Dalam setahun beberapa kali juga terlepas kereta api. Hendak buat macam mana dan jika ayah ada masa luang dia boleh hantarkan tetapi jauh," katanya.
Sementara itu, Wan Nashahidan Wan Abdullah, 17, dari Ulu Temiang memberitahu, dia pernah beberapa kali tertinggal kereta api walaupun rumahnya hanya beberapa minit dari stesen.
Menurutnya, paling sukar dilupakan apabila ia berlaku semasa hari peperiksaan sehingga membuatkannya menangis.
Ujar pelajar SMK Dabong tersebut disebabkan itu seawal jam 5 pagi dia telah bangun dan bersiap bagi memastikan dapat menghadirkan diri ke sekolah.
Bagi Al Amin Mohd Yusoff, 15, ia tidak menjadi keberatan baginya untuk bangun awal ke sekolah malah ia menjadi rutin yang menyeronokkan.
"Seronok dapat naik kereta api ke sekolah, selain cepat sampai ia juga selesa dan percuma," katanya.
Tinjauan Sinar Harian di Stesen Kuala Gris di sini pada Ahad mendapati seawal jam 6 pagi sudah ada pelajar yang berada di kawasan tersebut untuk ke sekolah.
Mereka sempat menunaikan solat Subuh kerana terdapat surau berhampiran dengan stesen.
Ada dalam kalangan mereka yang berjalan kaki, dihantar ibu bapa dan menunggang motosikal ke stesen kereta api.
Tepat jam 6.50 pagi kereta api dari Tumpat perjalanan ke Kuala Lipis, Pahang tiba dan membawa mereka ke SMK Dabong yang terletak hanya 50 meter dari Stesen Kereta Api Dabong.